Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Zoo Melaka peruntuk RM3 juta baik pulih infrastruktur dan kemudahan


Tarikh kemaskini: 14/09/2019





MELAKA, 14 Sept -- Zoo Melaka memperuntukkan sebanyak RM3 juta bagi melaksanakan penambahbaikan dan pemuliharaan infrastruktur serta kemudahan bagi keselesaan haiwan dan pengunjung ke zoo tersebut, sepanjang tahun ini.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) Mohd Rafee Ibrahim berkata peruntukan itu juga termasuk pembinaan semula dua sangkar burung dan kancil melibatkan kos berjumlah RM500,000.

Beliau berkata peruntukan itu turut melibatkan penyelenggaraan enam 'buggy' dan lima 'e-bus' untuk kegunaan pengunjung mengelilingi Zoo Melaka yang melibatkan kawasan kira-kira 9.3 hektar.

"Banyak penambahbaikan yang telah kita laksanakan secara berperingkat bagi menambaik baik Zoo Melaka dari pelbagai aspek seperti infrastruktur, jumlah haiwan dan tarikan baharu untuk menarik kunjungan ramai ke sini dalam tempoh hampir setahun MPHTJ mengambil alih zoo ini bermula 1 Sept lepas.

"Proses ini akan terus dilaksanakan dan berdasarkan rekod, jumlah kedatangan pengunjung ke Zoo Melaka telah meningkat melebihi 50 peratus sejak MPTHJ mengambil alih tempat ini," katanya pemberita selepas sesi pengenalan Harimau Putih Bengal 'Puteri Elsa' dan Grab sebagai Rakan Strategik Zoo Melaka di Zoo Melaka di sini, hari ini.

Zoo Melaka menerima 'Puteri Elsa' yang berusia kira-kira 2 tahun itu menerusi kerjasama strategik dengan Sunway Lagoon Wildlife Park pada 27 Ogos lepas dan dikuarantinkan sebelum dilepaskan untuk tontonan umum hari ini.

Turut hadir Pengarah Zoo Melaka, Zanariah Khamis dan Koordinator Grab Driver Centre Melaka, Anis Aris. 

Mengulas lanjut, Mohd Rafee berkata pihaknya juga telah menjalin kerjasama strategik dengan beberapa jenama besar termasuk Petron dan Grab dalam usaha menarik lebih ramai pengunjung menerusi pemberian diskaun ke Zoo Melaka.

"Sebagai contoh, pengguna yang membeli bahan api atau mengisi minyak di mana-mana stesen Petron di seluruh Malaysia boleh mendapat diskaun tiket masuk ke Zoo Melaka sebanyak 30 peratus," katanya.

Beliau berkata menerusi kerjasama dengan penyedia perkhidmatan E-hailing, Grab Malaysia  pula, pengunjung yang menggunakan perkhidmatan itu ke Zoo Melaka atau dari Zoo Melaka ke mana-mana destinasi boleh mendapat potongan tambang sebanyak RM5.

Katanya mereka hanya perlu memasukkan kod promosi 'ZOOMLK' ke dalam aplikasi Grab Malaysia untuk menikmati potongan itu bermula 17 Sept ini hingga 17 Sept tahun depan dan ia sah bagi dua kali penggunaan sahaja dalam tempoh itu.

Sementara itu, beliau berkata Zoo Melaka juga telah mempelawa kira-kira 100 syarikat korporat dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk terlibat sama dalam program tajaan haiwan di zoo tersebut melibatkan makanan dan sangkar.

"Sekiranya kita mendapat tajaan yang mencukupi daripada pihak korporat dan GLC, pendapatan Zoo Melaka dapat digunakan untuk menarik lebih ramai pengunjung ke sini," katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Buruh didakwa rogol anak kandung, setiap hari selama empat bulan

 
     

Bayi berusia tiga bulan di Sabah dijangkiti virus polio

 
     

Tunai mandat diberi dengan hadir ke mesyuarat - Setiausaha Agung PKR

 
     

Harga barangan basah dan sayuran di Terengganu lepas banjir masih terkawal

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel