Bachok, Pasir Puteh dipilih zon tanaman keledek vitato
Tarikh kemaskini: 14/09/2019

PASIR PUTEH, 14 Sept -- Jajahan Bachok dan Pasir Puteh yang mempunyai kawasan tanah gambut akan dijadikan zon tanaman keledek vitato bagi menambahkan pendapatan bekas penanam tembakau di kedua-dua jajahan itu.
Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA), Datuk Husam Musa berkata, tanaman itu menjadi pilihan pertama berasaskan potensi dan kesesuaian tanah yang subur dengan tanaman berkenaan.
“Isinya lebih manis dan berkhasiat berbanding keledek yang dihasilkan termasuk dari Thailand,” katanya kepada pemberita pada Majlis Taklimat dan Dialog Bersama Penanam Keledek Vitato Pasir Puteh/Bachok di Kampung Pak Mayong di sini, hari ini.
Turut hadir lebih 50 penanam keledek dan Rektor Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kelantan, Prof Madya Dr Zulkifli Mohamed menyertai majlis berkenaan.
Husam berkata, keledek berkenaan berpotensi untuk dikembangkan berdasarkan kemampuannya menghasilkan tuaian sebanyak tiga kali setahun dengan harga pasaran yang berpatutan sehingga pernah mencecah RM2.50 sekilogram.
Beliau berkata, sehingga ini lebih 1,000 bekas penanam tembakau mengusahakan tanaman itu dan hasilnya mencukupi bagi memenuhi permintaan pasaran di Kelantan terutama daripada pengusaha goreng pisang dan keledek.
Husam berkata, jika lebih ramai lagi penanam mengusahakannya sehingga hasilnya melebihi permintaan, pihaknya akan berusaha memasarkan ke Lembah Klang manakala pucuknya yang enak dijadikan perencah dalam makanan boleh dipasarkan ke restoran.
Katanya, bagi mengembangkan industri itu pihaknya mendapat kerjasama daripada agensi kerajaan termasuk, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) , Lembaga Pemasaran Pertanian Malaysia (FAMA) dan UiTM menerusi Pusat Penyelidikan Pembangunan Kemiskinan yang ditubuhkan bagi memantau dan membantu penanam terbabit mengikut sistem teknologi terkini.
Mengenai himpunan penyatuan ummah melibatkan UMNO dan PAS, Husam yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kelantan meragui dakwaan pemimpin PAS kononnya penyatuan berkenaan selari dengan hasrat bekas mursyidul am PAS Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Beliau berkata, dakwaan itu diragukan dan jika benar kenapa penganjur tidak menjemput isteri Allahyarham untuk hadir dan berada di atas pentas bersama pemimpin PAS dan Umno.
Semalam, Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, bekas menteri besar Kelantan itu sering kali menyuarakan pandangan supaya pemimpin mencari jalan bagi menyatukan umat Islam di negara ini.
-- BERNAMA
|