Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

DNA sah mayat wanita dari serpihan tulang ditemukan


Tarikh kemaskini: 14/09/2019




KUANTAN, 14 Sept -- Ujian DNA yang dijalankan terhadap spesimen tulang yang ditemukan pada kebakaran besar Sungai Lembing pada 31 Ogos lalu mengesahkan ia adalah mayat wanita warga emas yang dipercayai terperangkap dalam kejadian tersebut. 

Ketua Polis Pahang Datuk Abd Jalil Hassan berkata keputusan daripada Jabatan Kimia Petaling Jaya yang diperoleh semalam, mengesahkan mayat itu adalah Chow Kim Mui, 70, dengan ketepatan 99 peratus dengan anak lelakinya, Ho Chai Fei, 30 tahun. 

"Keputusan DNA juga mengesahkan bahawa mayat itu hanya seorang, dan bukan berdua seperti yang dipercayai memandangkan mayat suami mangsa, Ho Yuk Fun masih belum ditemui selepas kebakaran menyebabkan kita berpandangan terdapat kemungkinan mangsa berpelukan. 

"Bagaimanapun, bomba ada menyerahkan serpihan tulang yang ditemui pada 2 Sept lalu selepas mereka membersihkan kawasan rumah mangsa dan kita akan menghantar tulang itu untuk ujian DNA selanjutnya," katanya kepada Bernama di sini, hari ini. 

Abd Jalil ditemui selepas mengiringi Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah mencemar duli menziarah mangsa di Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Sungai Lembing di sini, hari ini. 

Serpihan tulang yang baharu ditemui itu, difahamkan masih dalam analisis pakar tulang di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini, sebelum dapat dihantar ke Jabatan Kimia. 

Pada kejadian 1.30 pagi 31 Ogos lalu, Ho, 74, dan Chow dipercayai maut akibat terperangkap dalam kebakaran yang keseluruhannya memusnahkan 32 bangunan terdiri daripada 20 rumah dua tingkat, 11 unit rumah setingkat dan sebuah perpustakaan. 

Bagaimanapun, bomba hanya menemukan satu mayat dalam keadaan rentung pada 6 pagi hari yang sama, yang dipercayai mayat wanita berdasarkan barang perhiasan yang ada sebelum bomba menamatkan pencarian mayat kedua pada 3.15 petang 1 Sept ekoran tiada petunjuk baharu. 

Sebelum itu, operasi mencari mayat lelaki warga emas yang mengusahakan kedai makan di situ turut menggunakan unit anjing pengesan, menyebabkan bomba menyerahkan siasatan kepada polis atas kapasiti orang hilang. 

-- BERNAMA 

   

 
 
     
   
 

Malaysia perlu rebut peluang bangun pelancongan mesra Muslim

 
     

Air terawat di Pulau Pinang antara paling bersih dan selamat di Malaysia

 
     

Sokongan keluarga, majikan cetus kejayaan penerima Anugerah Canselor

 
     

P. Pinang catat 384 kes rogol dari tahun 2014 hingga 2018

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel