ICYM berhasrat lebar jaringan kerjsama strategik
Tarikh kemaskini: 14/09/2019

MELAKA, 14 Sept -- Kolej Antarabangsa Yayasan Melaka (ICYM) akan terus melebarkan jaringan kerjasama merangkumi pelbagai bidang bersama rakan-rakan strategik dalam dan luar negara seiring dengan aspirasi kerajaan untuk melahirkan modal insan berkualiti dan mudah pasaran.
Ketua Eksekutifnya Datuk Saroni Judi berkata melalui kerjasama itu, ICYM akan dapat beralih ke arah aktiviti yang bernilai tinggi serta berintensifkan pekerja berpengetahuan dan berkemahiran seterusnya memberi peluang kepada pelajar untuk mengubah nasib selain diberi jaminan pekerjaan selepas tamat pengajian.
Beliau berkata ICYM yang telah 22 tahun berada dalam bidang pendidikan tinggi dengan menawarkan lebih 30 jenis program yang amat diperlukan industri, telah meluaskan lagi kerjasama dengan beberapa rakan dengan pelbagai program baharu di peringkat diploma dan ijazah.
"Terkini, kolej ini telah menjalin usaha sama dengan Akademi Mutawwif Professional yang menawarkan program Diploma in Mutawwif Entreprenuership dan dengan termeterainya kerjasama ini, akan dapat melahirkan lebih ramai mereka yang bertauliah seterusnya membuka peluang pekerjaan terutama kepada mereka yang berkelulusan agama.
"Selain itu, ICYM juga memeterai memorandum perjanjian (MOA) bagi kerjasama dalam bidang akademik khususnya bagi program Ijazah Sarjana Muda Bahasa (Kepujian) dalam Bahasa Arab dan Kesusasteraan dengan Al-Madinah International University (MEDIU) bermula tahun ini," katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Konvokesyen ke-17 Kolej Antarabangsa Yayasan Melaka di Durian Tunggal di sini hari ini.
Majlis itu disempurnakan oleh Timbalan Menteri Industri Utama, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin.
Pada majlis itu seramai 520 graduan terdiri daripada pelajar program dalaman ICYM termasuk program kerjasama Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menerima diploma dan ijazah masing-masing selain program Sijil Kemahiran Malaysia (SKM).
Penerima Anugerah Emas, Mohamad Danial Aqil Mohd Swalitan, 22, penuntut Diploma Teknologi Penyelenggaraan Pesawat (DAMT), dari Batu Kurau, Perak, bersyukur dipilih menerima pengiktirafan itu dan bercita-cita untuk menyambung pelajaran seterusnya untuk menjadi jurutera dalam bidang berkenaan.
"Alhamdulillah dengan kejayaan diperoleh hari ini, selama ini saya berpegang kepada tiga prinsip iaitu bergantung hati kepada Allah, seterusnya selalu meminta restu daripada ibu ayah kerana doa mereka tiada hijab dan selalu niat memberi manfaat kepada orang lain supaya orang lain dapat bantu kita," katanya.
-- BERNAMA
|