Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Jerebu tidak halang orang ramai beriadah


Tarikh kemaskini: 15/09/2019





KUANTAN, 15 Sept  -- Keadaan berjerebu di sini hari ini, tidak menghalang orang ramai daripada melakukan aktiviti rekreasi bersama anggota keluarga sempena cuti hujung minggu yang panjang.

Tinjauan Bernama di Pantai Teluk Cempedak yang merupakan kawasan tumpuan pengunjung mendapati pantai peranginan itu masih dilawati mereka yang menikmati suasana di tepi pantai.

Bagi Asyrul Arshad, 35, dari Kelana Jaya, Selangor berkata beliau mengambil kesempatan singgah di Pantai Teluk Cempedak bersama isteri dan anaknya selepas melawat saudaranya di Bandar Damansara, di sini.

“Saya mengambil keputusan untuk datang ke pantai ini kerana saudara memberitahu ia adalah tempat sesuai untuk membawa keluarga berjalan-jalan.

“Setakat ini, saya dan keluarga tidak menghadapi sebarang masalah kesihatan akibat jerebu.  Bagaimanapun, saya masih berhati-hati dengan tidak akan berada di tempat terbuka seperti ini terlalu lama,” katanya.

Seorang lagi pengunjung Ismarizana Che Pee, 36, dari Kuantan pula berkata keadaan berjerebu tidak menghalangnya dan tiga rakannya daripada melakukan aktiviti mendaki Bukit Pelindung yang berdekatan dengan kawasan Teluk Cempedak, kerana keadaan di atas bukit tidak begitu terjejas dengan masalah jerebu.

“Keadaan di atas Bukit Pelindung seperti biasa yang mana tidak begitu kelihatan masalah jerebu dan jumlah pendaki pun tidak kurang seperti minggu-minggu sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata aktiviti mendaki bukit di sekitar Kuantan seperti Bukit Pelindung, Bukit Panorama dan Bukit Tok Ki ialah aktiviti mingguannnya bersama rakan-rakan tetapi mereka mungkin akan menghentikannya seketika jika keadaan jerebu semakin buruk minggu hadapan.

Peniaga kedai makan dan tapak perkhemahan Ihsan Kadri, 35, yang sudah berniaga di Pantai Teluk Cempedak sejak empat tahun bagaimanapun berkata jumlah pelanggannya berkurang sedikit walaupun tidak begitu ketara.

“Perkara ini berlaku setiap tahun. Saya percaya keadaan berjerebu ini akan kembali pulih selepas ini,” katanya.

Setakat 2 petang ini, tiga kawasan di Pahang mencatatkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat iaitu Indera Mahkota yang merekodkan bacaan 131, Rompin (125) dan Temerloh (102) manakala Balok Baru mencatatkan bacaan 92 yang dikategorikan sebagai sederhana.

-- BERNAMA

 


 

   

 
 
     
   
 

PM: Kerajaan akan kaji sistem rel dan contohi kecekapan Stesen Tokyo

 
     

15,000 dijangka hadir majlis rumah terbuka Deepavali di Ipoh

 
     

Ubah suai program di IPT untuk kurangkan kadar pengangguran

 
     

MBM cadangkan supaya ijazah graduan protes ketika graduasi ditahan sehingga mohon maaf

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel