Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Pelancong tertumpu di kawasan yang tertutup akibat jerebu


Tarikh kemaskini: 15/09/2019





JOHOR BAHRU, 15 Sept -- Sektor pelancongan di negeri ini ketika ini lebih tertumpu di kawasan yang tertutup berikutan kualiti udara yang terjejas berikutan jerebu di beberapa kawasan khususnya dalam daerah di utara Johor.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri Liow Cai Tung berkata sehingga kini, masih banyak pelancong datang ke negeri ini khususnya dari Singapura.

Pihaknya juga tidak menerima sebarang aduan dari mana-mana pihak baik peserta industri mahupun pelancong yang mengadu kehadiran pelancong terjejas serta kesihatan dan aktiviti pelancong terganggu akibat jerebu.

“Kebanyakan pelancong memang tertumpu di kawasan Johor Bahru dan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di kawasan tersebut setakat ini belum mencapai tahap berbahaya dan saya masih belum menerima aduan daripada pelancong. 

Minggu ini merupakan minggu cuti persekolahan bagi Singapura dan saya lihat masih ramai pelancong yang datang dan mereka lebih tertumpu pada kawasan tertutup seperti pergi ke pusat membeli-belah dan kawasan pelancongan yang tertutup dan mengelak mengelakkan melakukan aktiviti luar,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pembukaan Infinity 8 City Centre Coworking Space X Art Gallery di sini hari ini.

Liow berkata kerajaan negeri sentiasa peka dan melakukan pemantauan terhadap bacaan IPU untuk memastikan maklumat terkini sampai kepada masyarakat dan memastikan keselamatan dan kesihatan rakyat di negeri ini. 

“Sebagai contoh program yang sedang berlangsung Desaru International Bike Week di Desaru yang berlangsung tiga hari masih berjalan seperti biasa dan dalam masa sama kita tetap pantau keadaan sekitar sana dan setakat semalam bacaan IPU masih rendah dan ia tidak mengganggu program berlangsung,” katanya lagi.

Liow bagaimanapun menasihatkan orang ramai agar mengurangkan aktiviti luar khususnya di kawasan yang terjejas dan sentiasa menjaga kesihatan.

“Sekiranya mengalami masalah kesihatan seperti sakit kepala dan sebagainya segeralah mendapatkan pemeriksaan di klinik kesihatan secepat mungkin,” katanya lagi.

Semalam, Jabatan Pendidikan Negeri telah mengarahkan kesemua sekolah termasuk tadika iaitu Tangkak, Muar dan Pontian  ditutup bermula hari ini berikutan IPU melebihi 200.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Kastam Kelantan rampas pil kuda bernilai RM2.7 juta

 
     

Penjawat awam Kedah dapat bayaran khas RM750

 
     

Usaha memanjangkan LTSAS akan bermula tahun hadapan

 
     

Raja Permaisuri Agong berkenan rasmi Festival Busana Tradisional Kreatif KL 2019

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel