Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Pembangunan sekolah daif dipilih berdasarkan keadaan fizikal


Tarikh kemaskini: 15/09/2019





BINTANGOR, 15 Sept -- Pemilihan sekolah bagi pelaksanaan pembangunan sekolah daif di Sarawak adalah berdasarkan keadaan fizikal sekolah yang tidak sempurna, tidak berfungsi dan tidak selamat digunakan.

Menteri Kerja Raya Baru Bian berkata sekolah-sekolah terbabit meliputi kategori sekolah yang telah mendapat pengesahan tidak selamat daripada Jabatan Kerja Raya, Jabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah.

Beliau berkata kabinet telah meluluskan RM1 bilion bagi pelaksanaan pembangunan sekolah daif negeri Sarawak yang melibatkan tiga fasa mulai Ogos tahun ini sehingga tahun hadapan.

“Kementerian kewangan telah bersetuju untuk memperuntukkan sebanyak RM350 juta bagi 37 buah sekolah daif di negeri Sarawak yang akan dilaksanakan dalam tahun ini,” katanya pada majlis pecah tanah Projek Sekolah Daif Sekolah Kebangsaan Bandar Bintangor di sini hari ini.

Sebahagian besar daripada projek sekolah daif itu akan dibina dengan menggunakan Sistem Pembinaan Industri (IBS) bagi mempercepatkan tempoh siap berbanding menggunakan sistem konvensional.

“Tempoh pembinaan sekolah-sekolah daif yang menggunakan sistem IBS adalah antara empat hingga enam bulan,” katanya.

Peruntukan RM350 juta tersebut merupakan pembayaran bahagian pertama pinjaman kerajaan negeri Sarawak kepada kerajaan persekutuan.

Rabu lepas, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dilaporkan berkata, tender bagi 30 sekolah daif akan dibuka pada Oktober dan Disember ini manakala tender bagi lima buah sekolah telah dibuat bulan lepas dan dua lagi pada bulan ini.

Menurutnya, sebanyak 107 sekolah daif dijangka dapat diperbaiki atau dibina semula menggunakan dana RM1 bilion yang dibayar balik oleh kerajaan negeri kepada kerajaan persekutuan.

Menurut Baru, projek SK Bandar Bintangor adalah di bawah Pakej 5 projek sekolah daif 2019 di Sarawak yang turut termasuk Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Entaih dan SK Ulu Entabai, kedua-duanya terletak di daerah Julau.

Pakej 5 adalah sebahagian daripada 12 pakej projek menaik taraf sekolah daif yang menggunakan Peruntukan Pembangunan di bawah Kementerian Pendidikan yang berjumlah RM100 juta dan meliputi 32 sekolah daif di kawasan Betong, Saratok, Serian, Samarahan, Kapit, Julau, Bintangor, Tanjung Manis, Daro, Dalat, Kanowit, Limbang, Lawas, Bintulu, Belaga, Baram, Subis dan Miri.

Projek SK Bandar Bintangor melibatkan pembinaan bangunan sekolah dengan lapan bilik darjah, tandas dan tangki air yang bernilai RM7,118,115.10 serta dilaksanakan oleh Cekapplex Sdn Bhd bermula 4 Sept lepas dan dijangka siap tahun depan.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Bayi berusia tiga bulan di Sabah dijangkiti virus polio

 
     

Tunai mandat diberi dengan hadir ke mesyuarat - Setiausaha Agung PKR

 
     

Harga barangan basah dan sayuran di Terengganu lepas banjir masih terkawal

 
     

Nelayan hilang ditemui lemas di Kuala Dungun pagi ini - bomba

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel