Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

MOA mahu jadikan rumpai laut sebagai produk pertanian utama Semporna


Tarikh kemaskini: 15/09/2019





SEMPORNA, 15 Sept -- Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) mahu penanaman rumpai laut menjadi produk pertanian yang utama di Semporna.

Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Mohd Sallehhuddin Hassan berkata keadaan laut di Semporna amat sesuai untuk  menjalankan aktiviti penanaman rumpai laut itu.

Beliau berkata projek penanaman yang dimulakan sejak 2010 itu telah dipelbagaikan termasuk dijadikan sebagai produk kecantikan.

"Banyak pengeluaran rumpai laut tetapi pendapatan (pengusaha) sedikit kerana harga yang rendah berbanding produk daripada rumpai laut.

Oleh itu, kementerian akan melihat bagaimana untuk membantu dari segi rantaian nilai penternak memberi keuntungan sehingga ke hujungnya," katanya ketika berucap selepas Program "Sixteen Walkabout" di Kampung Gelam-Gelam di Pulau Bum-Bum dan Pulau Ligit-Ligitan, Semporna di sini hari ini.

Program "Sixteen Walkabout" (16WA) bermula pada Jumaat lepas hingga 16 Sept ini untuk mendapatkan maklumat dan data pertanian bagi penyediaan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) meliputi kawasan Kota Kinabalu, Papar, Sipitang, Tenom, Keningau, Nabawan, Kalabakan, Tawau dan Semporna.

Sementara itu, MOA dalam kenyataannya berkata terdapat 50 pengusaha bagi kluster di Gelam-Gelam dan 70 pengusaha di Look Butun, Pulau Bum-Bum. 

Setakat ini hasil tuaian dicatatkan di Look Butun dan Gelam-Gelam ialah sebanyak 50 tan metrik dengan harga semasa bagi rumpai laut di Sabah adalah RM3.50 sekilogram.

"Tinjauan mesra  di Semporna ini adalah untuk membantu mempromosikan industri rumpai   laut di Sabah sekali gus meningkatkan permintaan dan pendapatan penternak. 

Ini juga dapat membantu meningkatkan harga semasa rumpai laut dan perluasan potensi pasaran tempatan dan juga eksport," menurut kenyataan itu.

--BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Kementerian Pendidikan siap sedia hadapi banjir

 
     

Kos beli vaksin untuk pendatang asing akan diumumkan nanti

 
     

Perpaduan sebenar tidak kenal fahaman politik, amalan kepercayaan - Daud Yusof

 
     

Semakan keputusan kemasukan MRSM tingkatan satu bermula hari ini

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel