Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

PTPTN harap Kertas Konsultasi Rakyat diluluskan segera


Tarikh kemaskini: 15/09/2019





GEORGE TOWN, 15 Sept -- Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) berharap Kertas Konsultasi Rakyat (KKR) yang mengandungi dokumen dan maklumat berkenaan mekanisme baharu pembayaran balik pinjaman dapat diluluskan segera oleh Kabinet.

Pengerusinya Wan Saiful Wan Jan berkata KKR itu telah diserahkan kepada Kementerian Pendidikan untuk dibawa ke mesyuarat Kabinet bagi mendapat kelulusan.

"Semua cadangan dan pandangan yang perlu dibuat telah dianalisis oleh pihak PTPTN dan cadangan Kertas Konsultasi Rakyat itu juga telah diserahkan kepada Kementerian Pendidikan untuk tindakan selanjutnya.

"Selain itu, di pihak PTPTN juga telah menerima komen berhubung KKR daripada Kementerian Pendidikan dan kami perhalusi serta perbaiki, jadi saya berharap pihak kabinet dapat buat keputusan segera berhubung Kertas Konsultasi Rakyat tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Program Jelajah Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) 2019 peringkat Pulau Pinang oleh Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow di Sekolah Jenis Kebangsaan SJK (Cina) Sin Kang, di sini hari ini.

KKR adalah satu dokumen yang diwujudkan oleh PTPTN pada Mei lepas bagi membantu kerajaan mencapai keputusan terbaik dalam menggubal dasar berkaitan perbadanan berusia 22 tahun itu.

Pada majlis itu, PTPTN turut menyampaikan sumbangan simpanan akaun SSPN-i kepada 520 anak-anak asnaf melibatkan 13 kawasan Parlimen di Pulau Pinang menerusi peruntukan wakalah zakat PTPTN berjumlah RM52,000.

Menerusi sumbangan itu, setiap pelajar terpilih menerima RM100 dalam bentuk akaun SSPN-i yang akan dibuka PTPTN melalui kerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri bagi membantu golongan asnaf dan galakan mereka untuk memulakan penabungan. 

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Bayi berusia tiga bulan di Sabah dijangkiti virus polio

 
     

Tunai mandat diberi dengan hadir ke mesyuarat - Setiausaha Agung PKR

 
     

Harga barangan basah dan sayuran di Terengganu lepas banjir masih terkawal

 
     

Nelayan hilang ditemui lemas di Kuala Dungun pagi ini - bomba

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel