Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

2,500 sertai larian dengan berpakaian tradisional di Jambatan


Tarikh kemaskini: 16/09/2019





GEORGE TOWN, 16 Sept  -- Kira-kira 2,500 pelari yang lengkap memakai pakaian tradisional menyertai acara larian ‘LLM Maju Cultural Night Run’ yang bermula malam tadi dan berakhir awal pagi ini di Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah dekat sini.

Larian santai sejauh tujuh kilometer yang julung kali diadakan itu dirasmikan oleh Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang  Tun Abdul Rahman Abbas, dan turut disertai Ketua Menteri Chow Kon Yeow serta barisan kepimpinan negeri itu.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna  Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Timbalan Menteri Kerja Raya Mohd Anuar Mohd Tahir turut mengambil bahagian dalam acara itu yang dianjurkan bersama Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), kerajaan negeri, Jabatan Kedua Sdn Bhd (JKSB) serta Koperasi LLM Berhad.

Mohd Anuar berkata larian ini akan dijadikan acara tahunan berikutan sambutan menggalakkan daripada masyarakat pelbagai kaum dan agama, selain mencapai objektifnya memupuk semangat muhibbah serta toleransi di kalangan penduduk dan menjadi aktiviti pelancongan.

"Acara larian ini dapat memperkenalkan kepelbagaian budaya penduduk Malaysia kepada pelancong asing di samping menggalakkan gaya hidup sihat serta memperkenalkan Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah sebagai laluan ke Pulau Pinang," katanya ketika ditemui Bernama selepas menyertai larian santai itu.

Mohd Anuar yang mengenakan sepersalinan baju Melayu bersama tanjak bagi acara itu berkata agensi kerajaan dan swasta digalakkan untuk menganjurkan larian santai  dengan memakai pakaian tradisional pelbagai kaum dalam usaha memperkenalkan kepelbagaian budaya negara ini.

"Saya lihat ramai peserta malam ini memakai pakaian tradisional masing-masing malah mereka begitu bersemangat berlari bersama-sama sehingga ke garisan penamat," katanya.

Menurutnya penganjur dengan kerjasama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara  turut mengadakan beberapa persembahan kebudayaan seperti tarian Boria, Chingay, Bhangra dan tarian tradisional Melayu di pentas utama serta di sepanjang laluan larian berkenaan.

Penganjur menyediakan 35 hadiah penyertaan dan lebih 300 hadiah cabutan bertuah untuk para peserta yang menyertai acara larian ini.

-- BERNAMA

 

   

 
 
     
   
 

Empat ADUN pembangkang gesa Perlis terima pegawai SPRM

 
     

Sultan Selangor berkenan hadir ke Jamuan Teh Diraja

 
     

LTTE: Permohonan ikat jamin dua ADUN, ketua pegawai perbadanan didengar Isnin

 
     

Dewan Negara: LPT2 catat 246 kes kemalangan maut dari Januari 2016-Oktober 2019

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel