Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

MPSP dinaik taraf, kini Majlis Bandaraya Seberang Perai


Tarikh kemaskini: 16/09/2019





KEPALA BATAS, 16 Sept -- Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) hari ini secara rasmi dinaik taraf dan dikenali sebagai Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP).

Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Abdul Rahman Abbas mengumumkan perkara itu pada majlis penyerahan surat cara pengisytiharan MBSP di Dewan Millenium, di sini hari ini. 

Dengan pengisytiharan itu, Pulau Pinang mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi negeri pertama yang kedua-dua pihak berkuasa tempatannya (PBT) bertaraf bandar raya.

Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) memperoleh status bandar raya pada 2015.

Upacara majlis perisytiharan itu bermula dengan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin menyerahkan surat cara perisytiharan itu kepada Abdul Rahman.

"Bahawasanya setelah diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang mengisytihar, menubuh dan memerintahkan MPSP, hendaklah mulai 16 Sept 2019 menjadi sebuah bandar raya, yang bernama MBSP dan bukan lagi MPSP dengan mempunyai hak tertentu sebagai sebuah bandar raya," kata Abdul Rahman.

Serentak dengan itu, Ketua Menteri Chow Kon Yeow kemudian membaca surat cara pelantikan Yang Dipertua MPSP Datuk Rozali Mohamud sebagai Datuk Bandar Seberang Perai di hadapan Yang Dipertua Negeri.

Rozali sebagai Datuk Bandar Seberang Perai yang pertama, kemudiannya melafazkan penerimaan jawatan serta mempersembahkan ikrar setia di hadapan Yang Dipertua Negeri sebelum Abdul Rahman mengalungkan Kalung Jawatan serta menyerahkan Cokmar kepadanya.  

Ketika ditemui selepas majlis itu, Rozali berkata kejayaan Seberang Perai memperoleh status bandar raya adalah hasil daripada kerjasama semua pihak termasuk warga kerja MBSP dan rakyat yang berusaha memenuhi kriteria yang ditetapkan kerajaan.

Berikutan itu, menurutnya beliau akan mengumumkan beberapa program dan insentif khusus untuk penduduk Seberang Perai sebagai tanda penghargaan kepada mereka.

"Saya bagi pihak warga kerja MBSP ingin mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada semua penduduk Seberang Perai kerana sentiasa bekerjasama di dalam semua program yang kita adakan. Tanpa kerjasama mereka kita tidak mungkin mendapat satu taraf bandar raya kerana menjadikan bandar raya itu dinilai dari segi peranan penduduk yang juga mengambil bahagian.

"Oleh itu, pada petang ini saya akan umumkan beberapa hadiah kepada rakyat. Saya pasti insentif atau program yang akan kita adakan ini akan menepati kehendak rakyat kerana program ini hasil daripada sesi town hall dan hasil perbincangan dengan rakyat," katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Ops Catut PSP: KPDNHEP Sabah hantar notis pengesahan kepada 15 kilang

 
     

Dua buah PPS dibuka di Kuching setakat 8.00 malam

 
     

Jumlah mangsa banjir di PPS Beaufort bertambah kepada 427 orang

 
     

Penetapan wawasan baharu ISOM untuk APEC terima respons positif

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel