Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Pakaian tradisional sambil berzumba kelainan pada Hari Malaysia


Tarikh kemaskini: 16/09/2019





ALOR SETAR, 16 Sept -- Hujan lebat berserta angin kencang tidak mematahkan semangat lebih 100 ahli Kelab Rimba Aerobic Kota Setar (RAC) untuk melakukan tarian senaman aerobik, Zumba bersempena sambutan Hari Malaysia pada hari ini.

Lebih menarik, kesemua ahli yang terdiri daripada pelbagai peringkat umur, agama dan kaum itu mengenakan pakaian tradisional kaum Melayu, India, Cina dan Siam sebelum melakukan tarian zumba dengan diiringi alunan muzik dari pelbagai kaum.

Seorang peserta, Norhaslinda Ahmad, 46, berkata dia sangat gembira kerana dapat menyertai program yang dapat mengukuhkan semangat perpaduan kaum dan memilih pakaian tradisional kaum India iaitu Sari untuk digayakan pada hari ini.

"Kalau baju tradisional Melayu, saya sudah biasa sebab itu saya pilih sari dan ternyata ia agak sukar untuk dipakai kerana mengambil masa hampir dua jam untuk bersiap. Tetapi, ia berbaloi dan saya dapat mengenakan pakaian tradisional kaum lain.

"Walaupun hujan, kami tetap bersemangat untuk berzumba mengikut irama muzik dari pelbagai kaum. Ini merupakan kali kedua RAC melakukan program sebegini bersempena sambutan Hari Malaysia," katanya ketika ditemui di Dataran Taman Jubli Perak di sini, hari ini.

Seorang lagi peserta, Tiew Lee Lian, 50, berkata walaupun berasa sejuk kerana dibasahi hujan, ia sama sekali tidak mematahkan semangatnya untuk menghabiskan program tersebut malah berbangga kerana dapat menjadi contoh kepada golongan anak muda dan menunjukkan bahawa perpaduan kaum di negara ini masih utuh.

Sementara itu, Pengerusi RAC Datin Seri Wendy Tham berkata beliau berbangga dengan semangat yang ditunjukkan semua ahli RAC walaupun terpaksa berzumba dalam keadaan basah dan sejuk.

"Kita rancang mahu adakan program ini setiap kali sambutan Hari Malaysia. Ini merupakan pendekatan RAC dalam usaha untuk memupuk semangat cintakan negara dalam kalangan semua kaum kerana dalam kelab ini, ahli-ahlinya terdiri daripada pelbagai kaum.

"Kita juga turut menyampaikan sijil penghargaan kepada ahli RAC yang menyertai perbarisan sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos lepas yang telah disampaikan oleh Penaung RAC Datuk Seri Boon Som Inong," katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Buruh didakwa rogol anak kandung, setiap hari selama empat bulan

 
     

Bayi berusia tiga bulan di Sabah dijangkiti virus polio

 
     

Tunai mandat diberi dengan hadir ke mesyuarat - Setiausaha Agung PKR

 
     

Harga barangan basah dan sayuran di Terengganu lepas banjir masih terkawal

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel