Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Lapor maklumat tidak sahih, bersifat perkauman untuk disiasat


Tarikh kemaskini: 16/09/2019





TAWAU, 16 Sept  -- Penduduk Sabah disaran tidak menyebarkan maklumat tidak sahih kebenarannya serta bersifat perkauman, sebaliknya melaporkan terus kepada agensi berkaitan untuk tindakan dan siasatan lanjut.

Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Christina Liew berkata semua pihak berperanan mengambil langkah berhati-hati serta memiliki sensitiviti yang tinggi sebelum menyebar atau berkongsi sebarang maklumat khususnya yang bersifat perkauman di laman sosial.

“Saya harap agar semua pihak perlu berhati-hati dalam menyebar atau berkongsi sebarang kenyataan atau berita di laman media sosial dan internet, perlu sentiasa berhemah bagi membanteras penularan berita palsu, agar keamanan dan kemakmuran sentiasa terkawal dan dilindungi," katanya pada Sambutan Hari Malaysia 2019 peringkat perbandaran Tawau di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Liew yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah itu berkata, penduduk Sabah perlu mengekalkan hubungan harmoni yang terjalin dan saling hormat menghormati.

“Negeri Sabah ini memiliki komposisi penduduk yang terdiri daripada kepelbagaian bangsa, budaya dan agama sebab itu perpaduan dan toleransi sangat penting untuk mengukuhkan kedaulatan dan pembangunan negara”

Pada masa yang sama Liew juga berkata, keamanan dan keharmonian yang dikecapi pada hari ini adalah berkat jasa bakti dan pengorbanan pejuang serta anggota keselamatan yang sentiasa berkorban setiap masa.

Sehubungan itu katanya, semangat kemerdekaan negara yang bermula pada tarikh 31 Ogos 1957 dan tarikh terbentuknya Malaysia melalui penyatuan Sabah dan Sarawak pada 16 September 1963 perlu diteruskan.

“Semangat kita dalam meraikan hari-hari kebesaran negara perlu diteruskan agar dapat mendidik masyarakat menghargai keamanan dan perpaduan yang dinikmati sekaligus mengekalkan kedaulatan negara," katanya.

--BERNAMA

 


 

   

 
 
     
   
 

Buruh didakwa rogol anak kandung, setiap hari selama empat bulan

 
     

Bayi berusia tiga bulan di Sabah dijangkiti virus polio

 
     

Tunai mandat diberi dengan hadir ke mesyuarat - Setiausaha Agung PKR

 
     

Harga barangan basah dan sayuran di Terengganu lepas banjir masih terkawal

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel