Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Anak tunggal korban berhenti kerja jaga ibu lumpuh


Tarikh kemaskini: 17/09/2019





KOTA BHARU, 17 Sept -- Demi kasih sayang terhadap ibu, seorang anak sanggup mengambil keputusan berhenti kerja sejak sembilan bulan lalu demi menjaga ibu yang lumpuh setelah diserang angin ahmar.

Wan Ahmad Khairul Syakir Wan Rahim, 20, berkata, sebelum ini, dia dan ibunya, Mazana Abdullah, 54, bekerja di salah sebuah kedai pembekal kek di Kuala Lumpur, namun segalanya berubah apabila ibunya jatuh sakit sejak Disember tahun lalu.

"Saya rela buat apa sahaja untuk ibu, yang mana rutin harian adalah memandi, menukar lampin pakai buang, memberi minum susu serta menyuapkan makanan kepada ibu.

"Sebelum ini, lebih empat bulan ibu terpaksa bergantung kepada wayar yang dipasang di hidungnya setiap kali diberi minum susu, namun pada Mei lalu tiub itu sudah dibuang dan ibu tidak lagi memerlukannya dan sekarang kesihatan ibu semakin hari semakin positif," katanya ketika ditemui di Kampung Tanjong Mas di sini, hari ini.

 Keluarga itu hari ini  menerima kunjungan daripada Presiden Persatuan Orang Kota Bharu (POKB) Datuk Sheikh Ahmad Dusuki Sheikh Mohamad dalam Program Kaseh Yayasan Kaseh Kanser dan Kronik (YKKK) yang turut menyampaikan sumbangan wang tunai, katil serta kerusi roda.

Wan Ahmad Khairul Syakir berkata ibunya diserang angin ahmar selepas terjatuh di dalam tandas di rumah dan selama tiga hari berada di wad Hospital Sungai Buloh.

"Sebaik sahaja ibu dibenarkan keluar dari hospital, kami mengambil keputusan untuk membawanya pulang ke Kelantan bagi memudahkan urusan untuk menjaganya selain berada dekat dengan keluarga," katanya.

Katanya, untuk meneruskan kelangsungan hidup mereka sekeluarga serta menampung perbelanjaan perubatan ibunya yang sedang sakit, ayahnya, Wan Rahim Wan Hussin, 55, bekerja sebagai pemandu bas di Kuala Lumpur.

"Setiap bulan, ayah menghantar wang perbelanjaan untuk keperluan ibu di kampung. Dalam sebulan saya perlu memperuntukkan RM2,000 untuk keperluan ibu termasuk lampin pakai buang, susu, rawatan perubatan secara tradisional serta beberapa keperluannya yang lain.

Sementara itu, Ahmad Dusuki berkata pihaknya menyerahkan katil yang diwakafkan, manakala kerusi roda pula disumbangkan oleh Pejabat Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) melalui POKB untuk memudahkan pergerakan Mazana.

"Selain itu, bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga sudah diluluskan dan berharap ianya sedikit sebanyak dapat meringankan beban yang ditanggung oleh terutamanya untuk menampung kos perubatan pada setiap bulan," katanya.

Orang ramai yang ingin membantu menghulurkan menyalurkan sumbangan menerusi akaun Hong Leong Bank, 19650119342 atas nama Wan Ahmad Khairul Syakir Wan Rahim atau boleh menghubunginya di talian 011-24170659.

-- BERNAMA

 

   

 
 
     
   
 

Seksyen 5 tol WCE dibuka mulai 10 malam ini

 
     

Banjir: Tiga daerah di Sabah terjejas setakat 12 tengah hari

 
     

17 kampung di Membakut, Beaufort terjejas banjir

 
     

Hutang awam kerajaan negeri Perlis meningkat kepada RM403.32 juta

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel