Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Pasukan bebas akan siasat kematian pelajar akibat TB


Tarikh kemaskini: 17/09/2019





GEORGE TOWN, 17 Sept  -- Kementerian Kesihatan akan menubuhkan satu pasukan siasatan bebas untuk menyiasat prosedur dan proses rawatan yang diberikan terhadap seorang pelajar perempuan berumur 19 tahun, Carmen Yee, yang meninggal dunia akibat penyakit tuberkulosis (TB), Ogos lepas.

Timbalan Menterinya, Dr Lee Boon Chye berkata pasukan siasatan yang dianggotai pakar-pakar dari negeri lain itu akan menyiasat sama ada berlaku kecuaian dalam rawatan terhadap pelajar itu.

"Kami boleh mulakan siasatan dalam tempoh sebulan, dua bulan lagi. Kami akan tetapkan tarikh untuk menubuhkan pasukan ini dalam masa dua minggu. Ibu pejabat kementerian akan mengetuai pasukan siasatan bebas ini," katanya pada sidang media di Hospital Pulau Pinang (HPP), di sini hari ini.

Terdahulu, Dr Lee bersama Pengarah Kesihatan Negeri Dr Asmayani Khalib dan Pengarah HPP Datuk Dr Norsidah Ismail mengadakan pertemuan bersama anggota keluarga Yee.

Pelajar tingkatan enam Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Heng Ee, di sini itu meninggal dunia akibat jangkitan TB atau batuk kering pada 27 Ogos lepas selepas dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) HPP pada 23 Ogos.

Mengulas lanjut, Dr Lee berkata pihak hospital telah menjalankan saringan X-ray dan ujian mantoux (ujian kulit) terhadap 376 individu yang mempunyai kontak dengan Yee termasuk anggota keluarga dan warga sekolah.

Beliau berkata daripada jumlah itu, 33 individu positif ujian mantoux di mana jangkitan TB Laten (LTBI) dikesan pada mereka, namun jangkitan itu tidak berbahaya dan tidak mudah berjangkit.

"Tidak ada seorang daripada 376 individu ini yang ada aktif TB. Ini bermakna risiko untuk TB merebak tidak ada. Setakat ini tidak ada kesan yang menunjukkan kuman itu telah merebak kepada orang lain. 

"Sebanyak 33 individu menunjukkan mereka ini pernah terdedah kepada kuman dan mereka perlu diberikan rawatan yang tidak tinggi tahap ubatnya jika dibandingkan dengan rawatan TB yang biasa. Rawatan kepada mereka ini lebih kepada rawatan pencegahan," katanya.

Dalam pada itu, Dr Lee turut menasihati pihak sekolah supaya tidak panik kerana saringan telah dijalankan terhadap kontak sedia ada dan tidak ada risiko untuk penyakit itu merebak dalam kalangan mereka.

"Cuma saya ingatkan kepada semua kontak terlibat, saringan ini perlu dibuat selama dua tahun untuk memastikan bahawa mereka betul-betul bebas daripada TB," katanya. 

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Zaman persekolahan nakal tapi hormat ibu bapa, guru - KPN

 
     

Sultan Nazrin rasmi Ekspo Antarabangsa Perak 2019

 
     

Projek pembinaan WCE mampu lonjakkan pembangunan ekonomi Selangor

 
     

Lelaki warga New Zealand dijumpai mati di jeti marina Labuan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel