Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Nelayan Kuala Kedah, Kuala Tebengau mula terjejas akibat ribut


Tarikh kemaskini: 17/09/2019





ALOR SETAR, 17 Sept -- Nelayan pantai sekitar Kuala Tebengau dan Kuala Kedah di sini mula merasai kesan cuaca tidak menentu yang melanda perairan negeri ini sejak sebulan lalu yang menyebabkan hasil tangkapan mereka terjejas.

Seorang nelayan Razali Yusof, 60, mendakwa hasil tangkapannya berkurangan sehingga 70 peratus sejak seminggu lalu berbanding sebelum ini apabila keadaan ribut dan laut bergelora menyebabkan ikan sukar ditangkap.

“Bulan ini sahaja, baru lima kali saya dapat turun ke laut menangkap ikan, itu pun dapat empat kilogram ikan campur-campur ada gelama, belanak, ikan belukang dan sedikit senangin walaupun keluar awal pagi dan pulang ke jeti waktu petang.

“Untuk mengelak rugi, saya jual sendiri ikan-ikan ini dengan harga antara RM4 hingga RM10 sekilogram bagi menampung duit minyak bot dan untungnya dibahagikan dengan anak saya yang teman saya ke laut,” katanya ketika ditemui pemberita di Kuala Tebengau di sini, hari ini.

Katanya, keadaan cuaca itu menyebabkan ada nelayan di sekitar kawasan berkenaan memilih untuk tidak turun ke laut bagi mengelakkan kerugian dan menghabiskan masa melakukan kerja-kerja sampingan lain untuk menyara kehidupan.

Bagi Muhammad Syafiq Sobri, 23, pula sebelum ini dia mampu memperoleh hasil tangkapan sehingga 100 kg setiap kali turun ke laut, namun kini hanya mampu membawa pulang antara dua hingga tiga kg ikan sahaja. 

“Ribut menyebabkan laut bergelora dan ikan pun sangat kurang di laut, inilah masalah kami setiap tahun bila tiba bulan ini sehingga Oktober,” katanya.

Sementara  itu, seorang peniaga ikan di Tebengau di sini, Saidi Ishak, 40, berkata pada masa ini dia hanya mampu menjual antara 20 hingga 30 kg ikan sahaja sehari berbanding 60 kg sebelum ini.

Katanya, dia juga pernah tidak berniaga selama seminggu kerana tiada ikan yang dihantar kepadanya oleh nelayan.

“Ikan temenung (ikan kembong) yang ditangkap nelayan dan dihantar kepada saya pun saiz kecil dan dijual RM10 sekilogram berbanding RM4 hingga RM5 sekilogram bagi saiz itu sebelum ini… esok belum tentu lagi ada bekalan, kalau tak ada saya cuti lagi dan ini menjejaskan kehidupan saya yang bergantung hidup pada jualan ikan,” katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

JAS Johor pergiat pemantauan di sungai tercemar, kritikal di Pasir Gudang

 
     

Libatkan nama bekas MB sebagai calon PH Tanjung Piai, cubaan gugat keharmonian PH

 
     

Kastam Kelantan rampas pil kuda bernilai RM2.7 juta

 
     

Penjawat awam Kedah dapat bayaran khas RM750

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel