Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Dua RUU baharu mengenai rasuah pada persidangan parlimen akan datang


Tarikh kemaskini: 17/09/2019





KUALA LUMPUR, 17 Sept  --Dua Rang Undang-Undang (RUU) baharu - derma politik dan penubuhan ombudsmen, dijangka dibentangkan di Parlimen pada Oktober ini, kata Ketua Pengarah Urus Tadbir, Integriti dan Anti Rasuah (GIACC) Tan Sri Abu Kassim Mohamed.

Beliau berkata kedua-dua RUU ini merupakan salah satu inisiatif utama di bawah Pelan Pencegahan Rasuah Negara (NACP) 2019-2023 yang memberi tumpuan utama untuk meningkatkan tadbir urus, integriti dan anti-rasuah selepas Pakatan Harapan (PH) mengambil alih kerajaan.

"Di samping itu,  Rang Undang-Undang mengenai Suruhanjaya Bebas  Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) telah dibentangkan di Parlimen dan dijangka diluluskan dalam persidangan Parlimen akan datang," katanya semasa Forum Anti-Rasuah dan Integriti 2019 di sini hari ini.

Terdahulu, dilaporkan bahawa kerajaan memuktamadkan penggubalan undang-undang yang berkaitan dengan pembiayaan  politik  dan akan dilancarkan oleh Jabatan Peguam Negara sebelum dibentangkan dalam mesyuarat Kabinet.

Rang Undang-Undang itu  akan menyentuh pelbagai aspek termasuk pihak yang perlu mendedahkan semua sumber pendanaan, termasuk sumbangan, serta beberapa inisiatif untuk memastikan ketelusan dan akauntabiliti dalam pentadbiran kerajaan yang digariskan dalam NACP 2019-2023.

Bercakap pada sidang akhbar kemudiannya, Abu Kassim berkata beliau sedang menyiapkan draf garis panduan  mengenai sokongan surat yang dikeluarkan oleh ahli politik di negara ini, bagi memastikan pentadbiran lebih telus.

"Bagaimanapun, butiran  mengenai perkara itu masih belum dapat  didedahkan dan mesyuarat khas untuk membincangkan perkara itu dengan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad akan diadakan pada hari Khamis (19 Sept)," katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai penguatkuasaan Seksyen 17A Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), beliau berkata peruntukan ini adalah pertahanan terbaik untuk menyediakan organisasi yang mempunyai prosedur yang mencukupi terhadap liabiliti korporat.

Peruntukan liabiliti korporat Akta SPRM yang akan dikuatkuasakan pada 1 Jun tahun depan, juga untuk memastikan bahawa organisasi komersial tidak mengambil bahagian dalam aktiviti rasuah untuk kepentingan atau faedah mereka sendiri, katanya.

Penguatkuasaan Seksyen 17A itu melebarkan kuasa SPRM untuk mendakwa organisasi komersil yang terlibat dalam rasuah, menandakan peralihan yang ketara daripada tumpuan yang diberikan kepada individu sebelum ini.

 

-- BERNAMA

 


 

   

 
 
     
   
 

Kastam Kelantan rampas pil kuda bernilai RM2.7 juta

 
     

Penjawat awam Kedah dapat bayaran khas RM750

 
     

Usaha memanjangkan LTSAS akan bermula tahun hadapan

 
     

Raja Permaisuri Agong berkenan rasmi Festival Busana Tradisional Kreatif KL 2019

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel