Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Aktiviti pengunjung di Port Dickson terjejas akibat IPU sangat tidak sihat


Tarikh kemaskini: 17/09/2019





PORT DICKSON, 17 Sept  -- Pengunjung yang hadir ke pusat peranginan Port Dickson mengambil langkah untuk menghadkan aktiviti riadah di kawasan tersebut berikutan keadaan jerebu yang mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) sangat tidak sihat, hari ini.

Tinjauan Bernama di Pantai Teluk Kemang mendapati aktiviti riadah dijalankan seperti biasa namun tidak ramai pengunjung yang hadir di pantai peranginan berkenaan memandangkan bacaan IPU melebihi 200.

Nurul Hidayah Ruba'e, 21,  dari Puchong, Selangor, berkata beliau bersama keluarga yang menginap di sebuah resort terpaksa menghadkan aktiviti ke beberapa kawasan memandangkan keluarganya sudah menunjukkan tanda-tanda kurang sihat akibat keadaan cuaca yang  buruk ketika ini.

Beliau yang sudah dua hari berada di Port Dickson berkata, terdapat ahli keluarga yang mengalami batuk-batuk, tekak kering dan suara menjadi serak sejak semalam.

“Walaupun dalam keadaan sakit kami tetap meneruskan aktiviti riadah disini sebab sudah buat tempahan lebih awal, cuma kami hanya tumpu dikawasan pantai sahaja kemudian akan kembali semula ke resort untuk berehat memandangkan ada yang tidak sihat," katanya ketika ditemui Bernama di sini, hari ini.

Sementara itu, pemandu e-hailing Mohd Idris Warno, 51, berkata beliau bersama keluarga yang baru tiba di Port Dickson hari ini terpaksa membatalkan niat untuk bermalam di sini, sejurus mengetahui tahap bacaan IPU sangat tidak sihat sedang melanda daerah ini.

"Kami sekeluarga baru bercadang untuk menginap di sini malam ini tetapi bila tahu cuaca teruk macam ini terpaksa batalkan hasrat, sebab cuaca begini boleh menjejaskan aktiviti melancong selain boleh menjejaskan kesihatan kami sekeluarga," katanya yang menetap di Pantai Dalam, Kuala Lumpur.

Namun, bagi Jeffry Jamal, 43, dari Kuala Lumpur berkata beliau mengambil kesempatan dengan meneruskan percutian selepas bercuti di Melaka kerana baginya ini sahaja peluang yang dimiliki untuk bersama keluarga.

"Saya dan keluarga memang selalunya akan cuba elak aktiviti luar rumah bila tiba musim jerebu tetapi disebabkan kami bercuti di Melaka dan alang-alang nak balik Kuala Lumpur jadi saya bawa keluarga singgah untuk mandi.

“Terpaksa teruskan rancangan sebab sudah sampai, tetapi rasanya lepas mandi kami akan pulang terus," katanya.

Port Dickson mencatatkan bacaan IPU sangat tidak sihat sejak pukul 8 pagi tadi iaitu 211 dan IPU sangat tidak sihat ini turut melibatkan daerah Nilai iaitu 203. 

Sementara itu di Nilai, meskipun bacaan IPU sudah mencecah pada tahap sangat tidak sihat, namun jarak penglihatan masih jelas dan para penjaja yang berniaga di tepi jalan juga dilihat masih menjalankan perniagaan seperti biasa.

Seorang peniaga Nur Shazlina Hasan, 38, berkata meskipun beliau maklum keadaan cuaca yang ketika ini agak tidak baik namun perniagaan harus diteruskan seperti biasa kerana ia satu-satunya punca pendapatannya. 

“Lagi pun barang-barang untuk berniaga hari ini pun memang sudah disediakan sejak semalam, tiada pilihan selain untuk tetap berniaga... tetapi bagi memastikan makanan tidak terdedah pada udara yang tidak baik, saya tambah lebih banyak penutup dan elak daripada makanan terdedah,” katanya. 

Setakat pukul 4 petang ini, Port Dickson dan Nilai kekal mencatatkan bacaan IPU sangat tidak sihat iaitu masing-masing 206 dan 204 manakala Seremban merekodkan bacaan IPU tidak sihat iaitu 176.

Berikutan itu, setakat pukul 4 petang ini, sebanyak 112 buah sekolah telah ditutup iaitu di Port Dickson sebanyak 63 buah di manakala di Nilai melibatkan 49 buah sekolah.

-- BERNAMA

 


 

   

 
 
     
   
 

Kastam Kelantan rampas pil kuda bernilai RM2.7 juta

 
     

Penjawat awam Kedah dapat bayaran khas RM750

 
     

Usaha memanjangkan LTSAS akan bermula tahun hadapan

 
     

Raja Permaisuri Agong berkenan rasmi Festival Busana Tradisional Kreatif KL 2019

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel