Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Kerajaan negeri bincang dengan KPM untuk bantuan sekolah terbakar - Exco


Tarikh kemaskini: 17/09/2019





ALOR SETAR, 17 Sept -- Kerajaan negeri akan berbincang dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi menentukan jenis bantuan yang boleh disalurkan kepada Sekolah Menengah Kebangsaan St Michael, di sini yang terbakar tengah hari tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Sumber Manusia negeri Dr Salmee Said berkata kebakaran kira-kira pukul 12 tengah hari itu telah menyebabkan sebuah auditorium serta tiga kelas yang digunakan oleh pelajar Tingkatan Tiga terbakar dibahagian siling dan bumbung.

“Kebakaran mungkin bermula dari dalam auditorium sebelum ia merebak ke bahagian siling dan bumbung kelas yang lain. Semasa kejadian, tiada pelajar yang berada di dalam auditorium manakala pelajar yang sedang dalam sesi pembelajaran di dalam kelas sempat menyelamatkan diri.

“Kita akan bincang dengan KPM untuk tengok bantuan yang boleh diberikan dalam masa terdekat. Tambahan, pelajar-pelajar Tingkatan Tiga akan menjalani peperiksaan dalam masa terdekat, jadi kita mahu pastikan mereka berada dalam keadaan selesa dan selamat,” katanya selepas melawat sekolah itu di sini, hari ini.

Sementara itu, Dr Salmee turut akan meminta kementerian untuk meneliti semula penyelenggaraan sistem pemadam kebakaran termasuk hos air dan pili bomba di semua sekolah di negeri ini.

“Semasa kebakaran tadi, pihak sekolah cuba menarik hos air namun ia tidak boleh digunakan. Kalau kebakaran kecil, penggunaan hos air itu sekurang-kurangnya dapat membantu memadamkan kebakaran tetapi apabila tidak boleh digunakan ia sama sekali tidak mempunyai fungsi,” katanya.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Kedah Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata sebanyak 35 peratus bahagian auditorium serta tiga kelas ditingkat tiga bangunan sekolah itu dijilat api.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

JAS Johor pergiat pemantauan di sungai tercemar, kritikal di Pasir Gudang

 
     

Libatkan nama bekas MB sebagai calon PH Tanjung Piai, cubaan gugat keharmonian PH

 
     

Kastam Kelantan rampas pil kuda bernilai RM2.7 juta

 
     

Penjawat awam Kedah dapat bayaran khas RM750

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel