Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Maritim Malaysia gagalkan cubaan seludup syabu bernilai RM700,000


Tarikh kemaskini: 17/09/2019





PELABUHAN KLANG, 17 Sept -- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya menggagalkan cubaan menyeludup keluar dadah jenis syabu dianggarkan bernilai RM700,000 di muara perairan Batu Laut, Tanjung Sepat, dekat sini petang semalam.

Pengarah Maritim Negeri Selangor Kapten Maritim Mohammad Rosli Kassim berkata dadah yang dianggar seberat 10 kilogram itu ditemukan dalam sebuah beg pakaian di kawasan pesisir muara berkenaan berhampiran hutan bakau kira-kira pukul 5.30 petang.

Beliau berkata pada mulanya, sepasukan anggota Maritim sedang melakukan rondaan di sekitar kawasan berkenaan sebelum mengesan sebuah kereta jenis Proton Saga dan seorang lelaki di luar kenderaan itu dalam keadaan mencurigakan.

"Semasa pasukan ronda cuba menghampiri, lelaki itu bertindak melarikan diri ke dalam hutan bakau manakala pemandu kereta terus memecut laju meninggalkan kawasan berkenaan. 

"Hasil pemeriksaan lanjut di kawasan itu telah menemukan satu beg pakaian berwarna hitam berjalur hijau berjenama 'Sport' mengandungi 10 bungkusan teh ginseng Cina yang berisi ketulan mampat syabu pada jarak lebih kurang 50 meter dari jalan utama Banting-Port Dickson," katanya dalam satu sidang media, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohammad Rosli berkata beg berisi dadah itu disyaki ditinggalkan lelaki terbabit sebelum melarikan diri selepas terlihat kehadiran anggota Maritim dan dia dipercayai sedang menunggu 'orang tengah' untuk menyeludup keluar syabu tersebut ke negara jiran melalui jalan laut.

"Dadah itu dipercayai diseludup masuk dari negara lain terlebih dahulu dan transit di sini sebelum diseludup keluar ke negara jiran. Kita tidak menolak kemungkinan ia datang dari negara China berdasarkan kepada label pada bungkusan teh berkenaan.

"Kita sedang giat mengesan suspek yang melarikan diri ke dalam hutan bakau itu serta suspek yang membawa kereta terbabit dengan kerjasama agensi penguatkuasaan lain," katanya.

Mohammad Rosli berkata kesemua dadah yang dirampas itu dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Negeri Selangor untuk tindakan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 30 Akta Dadah Berbahaya 1952.

Beliau turut menegaskan Maritim Malaysia sentiasa giat melaksanakan kawalan dan rondaan di sepanjang perairan Selangor, sama ada jalan darat atau laut termasuk 'laluan tikus' bagi mengekang kegiatan penyeludupan dadah mahupun barangan terlarang yang lain.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Kastam Kelantan rampas pil kuda bernilai RM2.7 juta

 
     

Penjawat awam Kedah dapat bayaran khas RM750

 
     

Usaha memanjangkan LTSAS akan bermula tahun hadapan

 
     

Raja Permaisuri Agong berkenan rasmi Festival Busana Tradisional Kreatif KL 2019

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel