Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Jho Low cadangkan nama-nama seperti penyanyi Bono dan Ratu Rania dari Jordan


Tarikh kemaskini: 17/09/2019





KUALA LUMPUR, 17 Sept  -- Bekas pegawai khas kepada Datuk Seri Najib Tun Razak mengesahkan kepada Mahkamah Tinggi hari ini bahawa ahli perniagaan yang sedang dalam pelarian, Low Taek Jho atau Jho Low telah menamakan beberapa nama besar untuk dijadikan sebagai anggota lembaga pemegang amanah kepada sebuah yayasan yang akan dibangunkan oleh Terengganu Investment Authority (TIA).

Datuk Amhari Efendi Nazaruddin, 43, mengesahkan Yayasan yang disasarkan untuk berada di bawah TIA, yang kemudiannya dikenali sebagai 1Malaysia Development Berhad (1MDB) menyenaraikan beberapa nama untuk menganggotai lembaga amanah itu seperti penyanyi kumpulan rock Ireland, Bono, Ratu Rania dari Jordan, dan bekas Ketua pegawai Eksekutif Walt Disney (CEO), Michael Eisner.

Beliau berkata demikian semasa permeriksaan balas oleh ketua peguam bekas Perdana Menteri itu, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, di hari ke-lapan perbicaraan berkaitan 1Malaysia Development Berhad’s trial (1MDB).

Muhammad Shafee sambil menyemak dokumen-dokumen yang bertarikh 4 Kei 2009 yang berkaitan penubuhan TIA dan yayasan kebajikannya itu berkata dokumen berkenaan menyarankan Sultan Terengganu, yang pada tahun berkenaan merupakan Yang di-Pertuan Agong, sebagai pengerusi Yayasan TIA.

Antara nama-nama yang disenaraikan dalam dokumen itu yang dibacakan di mahkamah oleh Muhammad Shafee adalah isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor; bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said; CEO Mubadala Development, Khaldoon Al Mubarak; bekas pengerusi ExxonMobil, Lee Raymond; pengerusi dan CEO LVMH Moët Hennessy Louis Vuitton SE, Bernard Arnault.

Muhammad Shafee: Tahukah anda bagaimana nama-nama ini boleh timbul?

Amhari Efendi: Jho Low menyediakan nama-nama ini dalam salah satu nota kepada ketua setiausaha peribadi Najib, allahyarham Datuk Azlin Alias dan saya sendiri, dalam salah satu mesyuarat kami di Hotel Prince.

Muhammad Shafee: Tahukah anda sekiranya cadangan itu dilaksanakan?

Amhari Efendi: Saya tidak pasti.

Muhammad Shafee: Saya mencadangkan kepada anda nama-nama ini sengaja diada-adakan oleh Jho Low untuk menarik perhatian kerajaan Terengganu dan kerajaan persekutuan.

Amhari Efendi: Saya tidak tahu.

Muhammad Shafee: Saya cadangkan kepada anda, kebanyakan personaliti-personaliti ini langsung tidak tahu nama-nama mereka disenaraikan.

Amhari Efendi: Saya tidak tahu.

Muhammad Shafee kemudiannya terus mencadangkan bahawa nama-nama ini adalah tanda-tanda Jho Low sedang menipu mereka, namun saksi pendakwaan kelapan itu berkata beliau tidak tahu apa-apa mengenai yayasan berkenaan.

Muhammad Shafee: Bagaimana nama Bernard Arnault boleh timbul, pernah terfikir “Apa yang dibuat Louis Vuitton buat dengan TIA?" Tidak terfikirkah anda bahawa ini boleh jadi satu penipuan?

Amhari Efendi: Saya tidak tahu.

Saksi turut bersetuju dengan cadangan Muhammad Shafee bahawa perubahan nama dari TIA kepada 1MDB adalah idea bekas CEO 1MDB, Shahrol Azral Ibrahim Halmi berdasarkan kepada surat dari Shahrol Azral kepada Ahli Parlimen Pekan itu yang bertarikh 25 Jun 2009.

Muhammad Shafee: Berdasarkan surat itu, nama MDB adalah idea Shahrol, tanpa nombor ‘1’.

Amhari Efendi: Berdasarkan surat itu, ya.

Najib, 66, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.

Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan empat kesalahan rasuah di Cawangan AmIslamic Bank Berhad, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di sini antara 24 Feb 2011 dan 19 Dis 2014, dan juga 21 pertuduhan pengubahan haram antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013, di tempat sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.

-- BERNAMA

 


 

   

 
 
     
   
 

Kastam Kelantan rampas pil kuda bernilai RM2.7 juta

 
     

Penjawat awam Kedah dapat bayaran khas RM750

 
     

Usaha memanjangkan LTSAS akan bermula tahun hadapan

 
     

Raja Permaisuri Agong berkenan rasmi Festival Busana Tradisional Kreatif KL 2019

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel