Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Tiada individu keempat dalam insiden berbalas tembakan di Batu Arang 


Tarikh kemaskini: 17/09/2019





KUALA LUMPUR, 17 Sept  -- Polis menafikan dakwaan terdapat seorang wanita dalam kereta Volkswagen Polo dinaiki tiga lelaki yang ditembak mati dalam kejadian di Batu Arang, Rawang dekat sini, Sabtu lepas. 

Ketua Polis Selangor Datuk Noor Azam Jamaludin berkata pemeriksaan di lokasi kejadian hanya menemui tiga suspek yang disyaki terbabit dalam kes samun bertopeng di kawasan Rawang, Batu Arang dan Kundang.

"Saya tegaskan tiada wanita bersama tiga lelaki yang mati ditembak itu dan kita hanya bertindak balas selepas suspek melepaskan tembakan ke arah polis terlebih dahulu," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata demikian bagi mengulas dakwaan salah seorang anggota keluarga suspek yang terbunuh dalam kejadian itu yang pihak berkuasa tidak mahu mendedahkan maklumat mengenai isteri salah seorang suspek yang didakwanya ada bersama semasa kejadian, dan belum ditemui sehingga sekarang. 

Noor Azam berkata sekiranya anggota keluarga membuat laporan mengenai kehilangan wanita itu, polis akan menjalankan siasatan dan mengklasifikasikannya sebagai kes Orang Hilang.

Beberapa anggota keluarga tiga lelaki yang maut sebelum ini membuat laporan kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) meminta siasatan penuh dilakukan berhubung kejadian berkenaan.

Sementara itu, Pesuruhjaya Suhakam Jerald Joseph berkata pihaknya akan menyiasat sama ada wujud salah guna kuasa polis atau perlanggaran prosedur operasi standard dalam kejadian itu.

“Pihak Suhakam akan bertemu Ketua Polis Selangor dan pegawai menyiasat untuk mendapatkan butiran kes berkenaan,” katanya.

Sabtu lepas Noor Azam dilaporkan berkata tiga lelaki yang dipercayai terbabit dalam kes samun bersenjata maut dalam kejadian berbalas tembakan, dan polis menemui dua pucuk pistol jenis separa automatik, tiga bilah parang dan tiga sarung muka. 

-- BERNAMA 

 


 

   

 
 
     
   
 

Kastam Kelantan rampas pil kuda bernilai RM2.7 juta

 
     

Penjawat awam Kedah dapat bayaran khas RM750

 
     

Usaha memanjangkan LTSAS akan bermula tahun hadapan

 
     

Raja Permaisuri Agong berkenan rasmi Festival Busana Tradisional Kreatif KL 2019

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel