Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Pegawai imigresen disyaki terbabit sindiket penipuan dokumen ditahan


Tarikh kemaskini: 17/09/2019





KUALA LUMPUR, 17 Sept  -- Seorang pegawai Jabatan Imigresen ditahan bersama seorang wanita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kerana disyaki terbabit dalam sindiket penipuan dokumen.

Ketua Polis Daerah KLIA ACP Zulkifli Adamsah berkata pada mulanya anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) KLIA yang sedang membuat rondaan di kawasan parkir KLIA pada kira-kira pukul 1.30 petang semalam, mengesan sebuah kereta jenis Hyundai Sonata yang dipandu wanita berusia 45 tahun dalam keadaan mencurigakan.

“Hasil pemeriksaan di dalam kereta, polis menemui kotak yang mengandungi sejumlah wang tunai, beberapa pasport dari China dan Indonesia serta kad pengenalan berwarna merah, disembunyikan di bawah tempat duduk penumpang hadapan,” katanya ketika dihubungi.

Katanya ketika pemeriksaan dibuat, seorang lelaki yang mendakwa sebagai pegawai Imigresen berusia 40 tahun mengaku kereta itu adalah miliknya.

Difahamkan, hasil soal siasat mendapati suspek wanita mengaku pasport yang ditemui adalah milik rakannya yang berada di luar negara dan akan memasuki Malaysia.

Zulkifli berkata kedua-dua suspek ditahan reman sehingga Jumaat ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Datuk Khairul Dzaimee Daud mengesahkan seorang pegawainya ditahan kerana disyaki terbabit dalam kegiatan pemalsuan cop keselamatan jabatan itu.

Beliau berkata pihaknya akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada polis bagi membantu siasatan.

“Imigresen tidak akan berkompromi dan melindungi mana-mana pegawai yang tidak berintegriti dan terlibat dalam aktiviti yang melanggar undang-undang.

“Tindakan tegas akan diambil mengikut peruntukan undang-undang sedia ada jika pegawai berkenaan  terbukti bersalah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

-- BERNAMA

 


 

   

 
 
     
   
 

JAS Johor pergiat pemantauan di sungai tercemar, kritikal di Pasir Gudang

 
     

Libatkan nama bekas MB sebagai calon PH Tanjung Piai, cubaan gugat keharmonian PH

 
     

Kastam Kelantan rampas pil kuda bernilai RM2.7 juta

 
     

Penjawat awam Kedah dapat bayaran khas RM750

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel