Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Sukan SEA: Skuad bola keranjang wanita berkelana ke China


Tarikh kemaskini: 17/09/2019





KUALA LUMPUR, 17 Sept  -- Skuad bola keranjang wanita negara akan berkelana ke Tianjin, China, minggu ini sebagai persediaan menghadapi temasya Sukan SEA yang akan berlangsung di Manila, Filipina.

Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah berkata buat julung kalinya Persatuan Bola Keranjang Malaysia (MABA) dan Persatuan Bola Keranjang Tianjin (TBA) akan bekerjasama dalam program pertukaran sukan dan ia akan menjadi demonstrasi yang hebat bagi kedua-dua kerajaan.

“Malaysia melihat potensi besar yang dapat diterokai dalam bidang kecemerlangan sukan serta pembangunan belia dan kami berharap mendapat kerjasama yang lebih erat dengan China dalam bidang ini,” katanya dalam ucapan Program Pertukaran Bola Keranjang Malaysia-China 2019 di Wisma MABA, hari ini. 

Lawatan tujuh hari bermula 19 hingga 25 Sept itu juga akan turut menyaksikan kontinjen negara mengadakan perlawanan persahabatan dengan pasukan wanita senior Tianjin (satu perlawanan), pasukan belia Tianjin (satu perlawanan) dan pasukan Tianjin University (dua permainan).

Diketuai tujuh pegawai dan 14 pemain, program pertukaran sukan itu juga diharap dapat membantu Malaysia mengembangkan liga bola keranjang negara untuk mencapai standard antarabangsa yang berkualiti tinggi.

Turut hadir Duta Besar China ke Malaysia Bai Tian dan Presiden MABA Datuk Lua Choon Hann.

Sementara itu, Bai Tian dalam ucapannya berkata ‘diplomasi bola keranjang’ akan memainkan peranan unik untuk mengukuhkan persahabatan antara Malaysia dan China ke tahap yang lebih baik.

“Selain lawatan MABA ke China, Persatuan Bola Keranjang China juga akan menghantar jurulatih terkemuka China, Zhang Jing Dong untuk mengadakan bengkel di Kuala Lumpur pada Oktober. 

“Beliau akan berkongsi pengalaman latihannya dengan ahli MABA dan membantu menganjurkan kursus latihan bagi jurulatih tempatan di Malaysia,” tambah beliau.

-- BERNAMA

 


 

   

 
 
     
   
 

JAS Johor pergiat pemantauan di sungai tercemar, kritikal di Pasir Gudang

 
     

Libatkan nama bekas MB sebagai calon PH Tanjung Piai, cubaan gugat keharmonian PH

 
     

Kastam Kelantan rampas pil kuda bernilai RM2.7 juta

 
     

Penjawat awam Kedah dapat bayaran khas RM750

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel