Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Topeng muka pembedahan lebih laris kerana harga murah


Tarikh kemaskini: 18/09/2019





LUMUT, 18 Sept  -- Harga yang murah dan selesa dipakai menyebabkan orang ramai memilih untuk menggunakan topeng muka pembedahan atau surgical mask berbanding topeng muka N95 dalam menghadapi keadaan jerebu ketika ini. 

Menurut Hairuniza Mohd Padil, 37, yang merupakan seorang ahli farmasi di Seri Manjung, di sini, ramai pelanggan membeli topeng muka pembedahan kerana senang dipakai termasuk kanak-kanak. 

“Sebenarnya, masyarakat tidak tahu perbezaan antara kedua-dua topeng muka ini yang jika dalam keadaan jerebu sekarang (tidak sihat), sebaiknya menggunakan topeng muka N95.

“Kebanyakan pelanggan yang membeli topeng muka N95 juga mengakui mereka mendapatkan jenis itu selepas membaca informasi di laman sosial yang menyatakan ia dapat menapis habuk atau partikel bersaiz kecil dengan lebih berkesan berbanding topeng muka pembedahan,” katanya ketika ditemui Bernama di sini hari ini.

Menurut beliau lagi, berikutan keadaan jerebu yang teruk di daerah Manjung menyebabkan kedua-dua jenis topeng berkenaan telah habis dijual sejak tiga hari lalu dan perlu menunggu stok yang baharu.

Menurut ahli farmasi, Noor Farah Abdul Rahman, kebanyakan pelanggannya membeli topeng muka pembedahan berikutan faktor harganya yang dijual lebih murah berbanding topeng muka N95.

“Kami sedang tunggu stok baharu sebab sejak Seri Manjung mencapai IPU sangat tidak sihat, semalam, ramai yang mencari topeng muka N95 kerana mengetahui topeng itu lebih efektif menghalang zarah jerebu yang lebih kecil berbanding jenis pembedahan,” katanya.

Bagi Noor Hashima Sihab, 42, iaitu seorang pembantu farmasi berkata beliau akan menerangkan jenis topeng muka yang sesuai kepada pelanggannya kerana menyedari kebanyakan pelanggan tidak tahu kewujudan dan fungsi topeng muka N95 yang lebih baik.

“Kami akan menerangkan kepada mereka terlebih dahulu terutama bagi penunggang motor, mereka lebih sesuai memakai jenis N95 yang disahkan mampu menapis partikel halus dalam udara berjerebu,” katanya.

Sementara itu, tinjauan Bernama mendapati harga topeng muka di beberapa farmasi, di sini, tidak selaras dan kebanyakannya menjual topeng muka pembedahan sekitar RM0.30 sehingga RM0.50 sekeping manakala topeng muka N95 sekitar RM3.50 sehingga RM7 sekeping.

-- BERNAMA

 

 

 


 

   

 
 
     
   
 

Raja Permaisuri Agong berkenan rasmi Festival Busana Tradisional Kreatif KL 2019

 
     

Kematian pesakit Zika di Perak mungkin akibat virus tempatan

 
     

PM: Kerajaan akan kaji sistem rel dan contohi kecekapan Stesen Tokyo

 
     

15,000 dijangka hadir majlis rumah terbuka Deepavali di Ipoh

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel