Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

AKSEM Kelantan rampas 5,250 karton rokok bernilai RM652,680


Tarikh kemaskini: 18/09/2019





KOTA BHARU, 18 Sept (Bernama) -- Taktik penyeludup rokok yang menyembunyikan sebanyak 5,250 karton rokok di sebalik bungkusan lampin pakai buang dalam sebuah lori tidak menjadi apabila diserbu sepasukan anggota Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) di Kampung Padang Kekabu, di sini, malam tadi.

Komander AKSEM Kelantan Rusli Karim berkata rampasan rokok bernilai RM652,680 termasuk cukai itu dilakukan pihaknya selepas mendapat maklumat awam.

Beliau berkata sebaik mendapat maklumat sepasukan anggota telah melakukan risikan pada pukul 7 malam dan berjaya mengesan sebuah lori yang diletakkan berhampiran sebuah rumah.

"Anggota yang membuat serbuan telah membuat pemeriksaan di dalam lori yang disyaki dan mendapati ada bungkusan mengandungi lampin pakai buang di belakang lori.

Bagaimanapun, sebaik pemeriksaan rapi dilakukan mendapati ada berpuluh kotak mengandungi rokok putih jenama Saat disembunyikan di sebalik bungkusan itu," katanya pada sidang akhbar Pejabat Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan di Padang Bongor di sini, hari ini.

Menurutnya, kesemua barangan kes termasuk sebuah lori bernilai  RM702,680, dibawa pulang ke Pejabat AKSEM Kelantan untuk siasatan lanjut dan kes diserah kepada JKDM untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 135 Akta Kastam 1967.

Dalam perkembangan lain, Rusli berkata AKSEM juga berjaya merampas 172 kotak mercun dan bunga api bernilai RM129,480 termasuk cukai selepas menahan sebuah lori bersama dua lelaki berusia 28 dan 51 tahun di Jalan Gua Musang-Kuala Lumpur pada Jumaat lepas.

Beliau berkata lori itu dikesan pada pukul 8.30 malam oleh anggota AKSEM dan hasil kerjasama dengan polis, lori berkenaan berjaya ditahan sebaik berjaya dipintas.

"Pemeriksaan yang dilakukan pihak menemui kotak-kotak berisi mercun dan bunga api yang disembunyikan di sebalik pakaian terpakai. Turut dirampas adalah sebuah lori yang dianggarkan bernilai RM50,000 dan kes diserahkan kepada JKDM untuk siasatan lanjut," katanya.

Dalam pada itu, Rusli berkata pihaknya turut merampas sejumlah 2,400 kotak mengandungi ayam beku bernilai RM96,000 berdekatan Pusat Pengumpulan Ikan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Rantau Panjang, Pasir Mas pada 8 Sept lepas.

Beliau berkata rampasan dilakukan selepas anggota AKSEM menyerbu lokasi berkenaan dan menahan dua lori bersama dua pemandu warganegara jiran berusia 41 dan 51 tahun.

"Pemeriksaan yang dilakukan ke atas dua buah lori berkenaan menemui ribuan kotak mengandungi daging ayam beku tanpa dokumen.

Apa yang membimbangkan ialah status halal daging ayam berkenaan selain dibimbangi dicemari dengan bakteria kerana tiada sebarang dokumen ketika ditahan. Kes diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) untuk siasatan lanjut," katanya.

-- BERNAMA   

   

 
 
     
   
 

Raja Permaisuri Agong berkenan rasmi Festival Busana Tradisional Kreatif KL 2019

 
     

Kematian pesakit Zika di Perak mungkin akibat virus tempatan

 
     

PM: Kerajaan akan kaji sistem rel dan contohi kecekapan Stesen Tokyo

 
     

15,000 dijangka hadir majlis rumah terbuka Deepavali di Ipoh

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel