Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Larangan menjaja di persimpangan lampu isyarat berkuatkuasa 1 Nov - Exco Terengganu


Tarikh kemaskini: 18/09/2019





KUALA TERENGGANU, 18 Sept (Bernama) -- Penjaja jalanan di Terengganu dilarang daripada berniaga di persimpangan lampu isyarat berkuatkuasa 1 Nov depan.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata sebelum tarikh itu , penjaja yang terlibat perlu memikirkan alternatif untuk meneruskan perniagaan mereka.

"Selepas 1 Nov, empat agensi akan terlibat untuk menguatkuasakan undang-undang ini iaitu polis, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Jabatan Tenaga Kerja.

"Bagaimanapun, kerajaan negeri sangat berharap agar peniaga dapat mematuhi peraturan ini kerana kita tidak mahu berlakunya keganasan seperti rampasan makanan yang dijual kerana kita mahu larangan ini dipatuhi peniaga dengan tenang dan lancar," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Sekolah Menengah Agama Khairiah di sini, hari ini selepas  menyampaikan faedah pengurusan mayat berjumlah RM4,000 kepada dua beradik yang menjadi yatim piatu selepas kehilangan ibu bapa mereka dalam kemalangan di Mersing, Johor Jumaat lepas. 

Pada awal Ogos lalu, kerajaan negeri mengumumkan larangan itu berkuat kuasa serta merta  kerana ia menyalahi undang-undang iaitu Akta Peraturan Lalu Lintas 1959 yang melarang peniaga berniaga di atas, tepi dan bahu jalan.

Selain itu ia juga bercanggah dengan Akta Kerajaan Tempatan 1976 dan undang-undang kecil penjaja yang tidak membenarkan sebarang aktiviti jualan dan pembelian di persimpangan jalan.

Bagaimanapun, larangan itu mendapat bantahan daripada golongan peniaga dengan alasan mereka perlu diberi kelonggaran tempoh tertentu bagi menghabiskan stok makanan yang ada.

Peniaga juga mendakwa larangan itu akan menjejaskan pendapatan hampir 100 penjaja jalanan yang kebanyakannya terdiri daripada golongan belia menganggur dan ibu tunggal.

Kerajaan negeri telah mengadakan sesi townhall untuk berbincang dengan peniaga terbabit untuk mencari jalan keluar agar dapat mencapai keputusan terbaik dalam mewujudkan situasi menang-menang kepada pelbagai pihak.

Apabila larangan itu berkuatkuasa 1 Nov depan, peniaga yang gagal mematuhi arahan itu akan berdepan hukuman kompaun sebanyak RM250 dan barang-barang jualan mereka juga akan turut dirampas.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Zaman persekolahan nakal tapi hormat ibu bapa, guru - KPN

 
     

Sultan Nazrin rasmi Ekspo Antarabangsa Perak 2019

 
     

Projek pembinaan WCE mampu lonjakkan pembangunan ekonomi Selangor

 
     

Lelaki warga New Zealand dijumpai mati di jeti marina Labuan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel