Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Akhbar di Malaysia masih ada masa hadapan - bekas pensyarah


Tarikh kemaskini: 20/09/2019




NILAI, 20 Sept -- Industri media cetak di negara ini masih mempunyai masa hadapan meskipun ketika ini berhadapan dengan keadaan suram dari segi jualan dan pengiklanan selain terpaksa menghadapi persaingan hebat daripada platform digital.

Mengambil contoh penerbitan akhbar di negara luar, bekas Pengarah Pemasaran Kumpulan NSTP Prof (B) Abdul Rahim Mohd Saleh yang yakin akhbar di negara ini mampu kekal berdaya saing, berkata pada sekitar tahun 1920 sehingga 1950, akhbar berdepan pelbagai cabaran daripada radio, industri perfileman dan televisyen, untuk mengekalkan pendapatannya. 

“Pendapatan akhbar dari segi jualan dan iklan mulai turun merundum pada tahun 20-an tetapi akhbar bertahan juga, dapat hidup sehingga tahun 30-an dan dapat mengatasi kewujudan radio. Akhbar kemudian dicabar pula oleh industri filem pada tahun 30-an dan untuk kekal, akhbar telah terbit ruangan filem yang mengetengahkan filem-filem yang diterbitkan dan mempopularkan seniwati dan seniman Hollywood dan akhbar kembali laris.

“Pada tahun 50-an datang pula televisyen dan pendapatan akhbar sekali lagi merundum tetapi akhbar menyambut cabaran itu dengan melakukan seperti mana dilakukan untuk filem sehinggalah akhbar maju sehingga tahun 80-an,” katanya di sini, hari ini.

Beliau, yang juga bekas pensyarah Universiti Teknologi Mara (UiTM) berkata demikian dalam program Dialog Krisis dan Masa Hadapan Akhbar di Malaysia dianjurkan Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (FKP), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dengan kerjasama Institut Akhbar Malaysia (MPI) di sini.

Program dua jam itu dihoskan bekas Pengarang Kumpulan Berita Harian, yang juga Karyawan Tamu FKP Datuk Mior Kamarulbaid Mior Shahid, selaku moderator manakala Abdul Rahim, Pengarang Utusan Malaysia Datuk Zulkefli Hamzah dan Editor Malaysia Indicator Sosongko Yudho sebagai ahli panel.

Mengulas lanjut, Abdul Rahim berkata untuk kelangsungan, setiap organisasi akhbar mestilah  membangunkan industri baharu seperti mana yang dilakukan akhbar Kosmo! yang menumpukan kepada industri Umrah Travel dan setakat ini berjaya mendapat pengiklanan daripada tiga syarikat pengiklan yang besar.

“Jadi kalau akhbar-akhbar boleh melihat industri baharu, binalah supaya anda boleh membangun bersama mereka,” katanya.

Sementara itu,  Zulkefli berkata kewujudan industri digital bukan sahaja mengganggu industri akhbar, bahkan semua industri.

“Jika dahulu, bank adalah antara institusi yang banyak mengiklan kepada akhbar dan 10 tahun kebelakangan ini mereka tidak lagi mengiklan dalam akhbar kerana mereka telah ada instrumen atau platform mereka untuk berhubung dengan pelanggan mereka. Jadi akhbar sudah menjadi tidak relevan kepada mereka.

“Sejak lima tahun kebelakangan ini, kerana kedatangan digital itu semakin meluas, orang sudah bertukar cara membaca,” katanya sambil menambah bahawa industri media cetak kini bertungkus lumus mencari model perniagaan baharu yang lebih mampan untuk menyaingi gelombang digital.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Penggiat industri pelancongan Johor telah diberi taklimat berhubung koronavirus - Exco

 
     

Pengusaha cendawan turut terjejas akibat cuaca panas

 
     

Tapak relau peleburan besi purba ditemukan di Kedah

 
     

Usah biarkan warisan di Kota Bukit Supai terus sepi

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2020 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel