Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Arah angin dan titik panas di Kalimantan, punca IPU tahap bahaya Sri Aman, Sarawak - JAS Sarawak


Tarikh kemaskini: 20/09/2019





KUCHING, 20 Sept -- Peningkatan drastik bacaan Indeks Pencemaran Udara di Sri Aman, dekat sini, sehingga melebihi paras bahaya adalah disebabkan peningkatan asap yang dibawa angin dari Kalimantan, Indonesia apabila banyak titik panas dikesan.

Pemangku Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Sarawak Ahmad Saifful Salihin berkata lokasi Sri Aman yang mempunyai penduduk sekitar 100,000 orang pula berada paling hampir dengan negara jiran berkenaan menyebabkannya paling teruk terjejas.

Bercakap kepada Bernama, beliau tidak menolak kemungkinan kualiti udara di Sri Aman yang kini mencatatkan bacaan IPU tertinggi dalam negara akan semakin teruk, antara lain, sekiranya bilangan titik panas di Kalimantan terus meningkat.

“Angin sekarang bertiup dari arah barat daya ke arah Sri Aman membawa jerebu merentasi sempadan negeri Sarawak.

“Jadi faktor penentu kepada kualiti udara di sini (Sri Aman) adalah arah angin dan juga bilangan titik panas di Kalimantan,” katanya.

Sri Aman setakat pukul 4 petang tadi mencatat bacaan IPU 409.

Bacaan IPU kawasan berkenaan melonjak secara drastik sejak pukul 8 pagi tadi dengan mencatatkan 402, sebelum terus meningkat pada paras bahaya, berbanding 12 tengah malam, semalam, hanya 236.

Selasa lepas, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri telah menyatakan kesediaan untuk sebarang kemungkinan pengisytiharaan darurat bencana jerebu sekiranya bacaan Indeks Pencemaran Udara di Sri Aman melebihi 500.

Selain jerebu rentas sempadan, isu kualiti udara di Sri Aman turut terjejas dengan kebakaran di tiga kawasan di daerah berkenaan yang meliputi kawasan seluas kira-kira 200 hektar.

Menurut Agensi Pengurusan Bencana Negara dalam satu kenyataan, hari ini, keluasan kebakaran yang belum dapat dipadamkan hanya berbaki kira-kira 80 hektar, selepas operasi memadam masuk hari kelima hari ini.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Latihan kemahiran percuma kepada kumpulan B40 dperluas ke Sabah, Sarawak - NIOSH

 
     

Banjir di Kelantan pulih sepenuhnya, semua PPS ditutup tengah hari ini

 
     

Buruh didakwa rogol anak kandung, setiap hari selama empat bulan

 
     

Bayi berusia tiga bulan di Sabah dijangkiti virus polio

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel