Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

AirAsia akan naik taraf pautan WiFi  dalam pesawat


Tarikh kemaskini: 20/09/2019





KUCHING, 20 Sept -- Syarikat penerbangan tambang rendah AirAsia Malaysia menyasarkan untuk menaik taraf pautan WiFi dalam semua 98 pesawatnya tahun depan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Riad Asmat berkata semua pesawat itu akan dilengkapi dengan rangkaian jalur lebar berkelajuan tinggi Inmarsat, Ka-band dikenali sebagai GX Aviation yang menawarkan pengalaman hiburan dan pautan lebih baik mengatasi jalur lebar asas, menyokong video masa nyata dan penstriman muzik.

"Ketika ini, 49 pesawat dilengkapi dengan L-band menawarkan banyak perkhidmatan kepada pesanan dan pelayaran ringan, manakala enam lagi pesawat dilengkapi dengan Ka-band sejak awal bulan ini," katanya pada acara Pengalaman Wifi Dalam Pesawat bersama Media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching di sini, hari ini.

Beliau berkata para penumpang boleh menikmati pautan WiFi dari 10 megabait (MB) hingga 200MB dengan harga bermula pada RM9 hingga RM58.

Penumpang juga akan menerima percuma 10MB dalam tempoh percubaan perkhidmatan baharu itu mulai hari ini hingga 30 Sept, 2019.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif ROKKI Sdn Bhd, Sargunan Seenivasan berkata ROKKI, sebagai penyedia hiburan dalam pesawat, menyasarkan 40 peratus daripada purata150 penumpang akan menggunakan perkhidmatan WiFi tersebut.

Katanya kira-kira 20 peratus penumpang menggunakan perkhidmatan WiFi sejak diperkenalkan pada Jun, 2017.

"Sekarang kita melihat trend meningat dalam kalangan belia dan ahli perniagaan dengan kira-kira 25 peratus daripada mereka menggunakan perkhidmatan ini. Kami berharap lebih banyak pengguna apabila perkhidmatan itu ditingkatkan dengan GX-Aviation yang dikuasakan oleh ROKKI," katanya.

Sargunan berkata perkhidmatan WiFi AirAsia juga menawarkan hiburan, muzik, permainan, berita dan pengalaman membeli-belah percuma kepada para penumpang.

Sebagai penyedia komunikasi satelit mudah alih global, Inmarsat telah mereka bentuk GX Aviation yang membawa langkah berani dan inovasi kepada syarikat penerbangan dengan mewujudkan pengalaman digital baharu dalam kalangan penumpang, katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

PH tidak tolak hasil kajian berbentuk ilmiah dan membina - Muhyiddin

 
     

Iikan lumba-lumba terdampar diselamatkan pelajar UMT

 
     

JIM tumpas penipuan dalam talian warga China di Ipoh

 
     

Henti polemik isu hak milik tanah kampung baharu - MB Perak

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel