Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Sebanyak 13 premis makanan kotor diarah tutup


Tarikh kemaskini: 20/09/2019




SHAH ALAM, 20 Sept -- Sebanyak 13 buah premis menjual makanan di Ulu Yam, Rasa dan Batang Kali di daerah Hulu Selangor diarah tutup selepas Ops Premis Bersih Bersepadu Daerah Hulu Selangor pada Rabu lepas kerana beroperasi dalam keadaan kotor dengan kehadiran tikus dan lipas di premis berkenaan.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Selangor, Datuk Dr Khalid Ibrahim berkata kesemua premis yang diarah tutup itu telah diberi tempoh selama 14 hari untuk melakukan kerja-kerja pembersihan mengikut Seksyen 10 dan 11 Akta Makanan 1983.

"Antara kesalahan yang dilakukan oleh kesemua premis yang diarah tutup ini adalah lima premis terdapatnya hurungan tikus, sebuah premis terdapat hurungan lipas manakala tujuh premis lagi ditutup kerana markah penilaian kebersihan semasa pemeriksaan yang diperoleh kurang daripada 65 peratus," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dr Khalid berkata dalam operasi bersepadu itu sebanyak 98 buah restoran dan kedai makanan telah diperiksa.

"Sebanyak 113 notis melibatkan pelbagai kesalahan di bawah Peraturan-peraturan Kebersihan Makanan 2009 turut telah dikeluarkan kepada pemilik premis dan juga pekerja premis  dengan jumlah keseluruhan nilai tawaran kompaun sebanyak RM 60,900.

"Operasi berkenaan turut mengenal pasti seramai 59 pengendali makanan yang bekerja di restoran dan kedai makanan yang tidak memiliki sijil latihan pengendali makanan dan seramai 63 orang tidak mendapatkan suntikan tifoid, kesemua kesalahan ini turut diambil tindakan penguatkuasaan," katanya.

Katanya, operasi berkenaan diselaraskan oleh Unit Inspektorat dan Perundangan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor dan Pejabat Kesihatan Daerah Hulu Selangor, melibatkan seramai 81 orang pegawai dan mendapat kerjasama daripada Polis Diraja Malaysia.

JKN Selangor katanya akan sentiasa mengadakan operasi di seluruh negeri bagi memastikan pengusaha dan pengendali makanan mematuhi peruntukan undang-undang dan makanan yang disediakan adalah selamat untuk dimakan.

"Orang ramai adalah dialu-alukan untuk menghubungi JKN Selangor sekiranya mempunyai aduan berkenaan premis makanan kotor atau terdapat produk makanan yang rosak yang djual di negeri ini," katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Penggiat industri pelancongan Johor telah diberi taklimat berhubung koronavirus - Exco

 
     

Pengusaha cendawan turut terjejas akibat cuaca panas

 
     

Tapak relau peleburan besi purba ditemukan di Kedah

 
     

Usah biarkan warisan di Kota Bukit Supai terus sepi

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2020 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel