Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Adat, budaya tidak harus dipinggirkan di era moden - PM Mahathir


Tarikh kemaskini: 20/09/2019





KUALA LUMPUR, 20 Sept -- Generasi masa kini tidak harus membiarkan nilai kemanusiaan, adat dan budaya terhakis serta terpinggir dalam mengejar kejayaan di era moden masa kini, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Malah perdana menteri berkata arus kemajuan di era digital dan automasi seharusnya mampu dimanfaatkan dalam membentuk anak bangsa yang lebih berjaya, dan pada masa sama tetap berpegang teguh kepada nilai, adat dan budaya.

"Kita sebenarnya membenarkan diri terperangkap dalam arus kemajuan era digital dan automasi. Kita seolah-olah tidak berupaya untuk menerap nilai-nilai yang baik apabila terpaksa mengejar kemodenan kerana tidak mahu ketinggalan.

"Sering terdengar rungutan bahawa generasi masa kini terbawa-bawa dengan modenisasi sehingga meminggirkan nilai kemanusiaan, adat dan budaya. Akibatnya, ada dalam kalangan kita  tidak beradab dan keluar dari batasan agama," katanya ketika berucap melancarkan Piagam Warisan dan Budaya Tanah Air di Muzium Kesenian Islam di sini, hari ini.

Piagam tersebut adalah hasil resolusi-resolusi yang telah dibentangkan pada Kongres Kebudayaan 1971 dan Kongres Budaya pada 2017 dalam melestari bidang warisan dan budaya negara.

Dr Mahathir menegaskan bahawa ramai bangsa yang berjaya pada hari ini adalah dalam kalangan mereka yang berpegang teguh kepada amalan-amalan dan nilai murni tersebut.

"Saya berharap Piagam Warisan dan Budaya Tanah Air ini akan membawa kita setapak lagi lebih dekat kepada mencapai pengisian masyarakat berbudaya tinggi termasuk kelestarian budaya Melayu yang utuh.

"Ia (piagam) juga diharap turut mempromosi Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan. Dewan Bahasa Pustaka ialah institusi yang bertanggungjawab untuk memartabatkan Bahasa Melayu, justeru, dengan adanya piagam baru ini perjuangan kita dalam menjiwai bahasa jiwa bangsa akan lebih berkesan lagi,”  katanya.

Bagi tujuan tersebut, Dr Mahathir turut berharap semua jabatan kerajaan yang berkaitan akan saling bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam melahirkan bangsa Malaysia yang berjiwa besar, berbudaya tinggi serta mulia menerusi piagam tersebut.

Beliau berkata bagi memantapkan lagi usaha berkenaan lebih banyak universiti perlu berusaha menawarkan pengajian arkeologi bagi merungkai isu-isu perkembangan tamadun awal.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Penggiat industri pelancongan Johor telah diberi taklimat berhubung koronavirus - Exco

 
     

Pengusaha cendawan turut terjejas akibat cuaca panas

 
     

Tapak relau peleburan besi purba ditemukan di Kedah

 
     

Usah biarkan warisan di Kota Bukit Supai terus sepi

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2020 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel