Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

NIOSH perlu tumpu kepentingan nilai inovasi hadapi Revolusi Industri 4.0


Tarikh kemaskini: 20/09/2019





Oleh Aisha Hani Nor Azmir

KUALA LUMPUR, 20 Sept -- Tan Sri Lee Lam Thye mahu Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) menekankan kepentingan nilai inovasi berkaitan keselamatan dan kesihatan pekerjaan khususnya dalam menghadapi era Revolusi Industri 4.0.

Beliau berharap pihak pengurusan serta ahli-ahli NIOSH dapat memberikan idea-idea baharu berkaitan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja seiring dengan kewujudan NIOSH sebagai institusi yang bertanggungjawab melaksanakan latihan, penyebaran maklumat, penyelidikan dan pembangunan, serta khidmat rundingan berhubung dengan perkara berkaitan keselamatan dan kesihatan pekerjaan di Malaysia. 

Lee, yang menamatkan perkhidmatannya sebagai Pengerusi NIOSH hari ini, berkata pihak pengurusan tertinggi NIOSH perlu berpegang teguh kepada tiga nilai korporat iaitu integriti, profesionalisme, dan inovasi demi kelangsungan institut itu.

“Dalam apa jua yang kita buat, kita mesti ada profesionalisme dan kompetensi daripada aspek latihan supaya kita dapat melatih orang yang kompeten dan mereka boleh ditugaskan di industri-industri berkenaan serta dapat menjalankan tugas mereka dengan terbaik untuk memastikan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja,” katanya dalam satu wawancara bersama Bernama hari ini.

Lee, yang berkhidmat selama 27 tahun sebagai pengerusi NIOSH berkata beliau berusaha membina kredibiliti NIOSH untuk menjadi pusat ‘penyelesaian setempat’ pelbagai perkhidmatan latihan, konsultasi, penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan pusat penyebaran maklumat (eng: information disemination centre) dalam aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan.

“NIOSH diiktiraf oleh pihak kerajaan, pihak swasta dan pihak antarabangsa sebagai institut yang melaksanakan pelbagai program yang bertujuan untuk mengurangkan kejadian kemalangan di negara kita,” katanya.

Lee berkata buat masa ini, NIOSH berjaya melatih lebih kurang 500,000 peserta berdaftar daripada pelbagai industri dalam jangka masa lima tahun dan berharap agar aspek keselamatan dan kesihatan di tempat kerja menjadi sebahagian daripada budaya kerja di Malaysia.

NIOSH ditubuhkan pada 1992. 

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Penggiat industri pelancongan Johor telah diberi taklimat berhubung koronavirus - Exco

 
     

Pengusaha cendawan turut terjejas akibat cuaca panas

 
     

Tapak relau peleburan besi purba ditemukan di Kedah

 
     

Usah biarkan warisan di Kota Bukit Supai terus sepi

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2020 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel