Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Kedudukan jurulatih, pemain ditentu berdasar prestasi - PBNS


Tarikh kemaskini: 21/09/2019





SEREMBAN, 21 Sept -- Kedudukan jurulatih dan pemain skuad Rusa musim ini sama ada dikekalkan atau tidak pada musim depan adalah berdasarkan kepada laporan prestasi mereka musim ini, kata Naib Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan (PBNS) Mohamad Taufek Abd Ghani.

Beliau berkata selain itu ia juga bergantung kepada perbincangan di peringkat kepimpinan dan Jawatankuasa Eksekutif PBNS.

"Kontrak mereka (jurulatih dan pemain) akan tamat pada November ini. Sebaik kontrak mereka tamat, kita akan nilai prestasi keseluruhan pasukan termasuk jurulatih dan pemain termasuk pemain import dan akan mengambil tindakan sewajarnya.

"Semua ini bergantung kepada laporan prestasi mereka. Pada keseluruhannya tahap pencapaian skuad Rusa musim ini belum boleh dibanggakan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata kemungkinan terdapat pemain dikekalkan dan juga ada pemain yang akan disingkirkan tetapi yang penting ialah menyediakan sebuah pasukan yang lebih baik pada musim depan.

Mohamad Taufek berkata keputusan itu bergantung pada bajet kerana sukan bola sepak memerlukan belanja yang besar dan persatuan akan mendapatkan lebih banyak peruntukan menerusi penajaan dan sebagainya.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Belia Dan Sukan negeri berkata demikian ketika diminta mengulas kegagalan skuad Rusa ke suku akhir Piala Malaysia musim ini.

Pada Liga Perdana musim ini, Negeri Sembilan berada di kedudukan keenam daripada 11 pasukan yang bersaing.

Mengulas lanjut, beliau yakin skuad Rusa akan lebih bersiap sedia untuk menghadapi saingan Liga Perdana musim depan.

Mengenai nasib ketua jurulatih Mohd Zan Mat Aris yang direhatkan dipertengahan musim, beliau berkata tindakan itu diambil kerana PBNS tidak berpuas hati dengan pencapaian ketua jurulatih itu.

"Untuk musim depan, kita mungkin mendapatkan jurulatih baharu bagi menggantikan Mohd Zan...semua kemungkinan itu ada. Semua ini bergantung kepada laporan prestasi beliau (Mohd Zan)," katanya.

-- BERNAMA 

   

 
 
     
   
 

Perbicaraan kes rogol libatkan Exco Perak bersambung Februari depan

 
     

Lelaki meninggal dunia terkena renjatan elektrik ketika harung banjir

 
     

JPJ N. Sembilan kutip RM1.2 juta bidaan nombor pendaftaran NDN

 
     

FAMA sumbang RM49,084 kepada keluarga lapan wira negara terkorban semasa Op Daulat

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel