Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Dr Md Farid pemimpin muda yang komited bawa idea pembaharuan dalam kerajaan - Aminolhuda


Tarikh kemaskini: 21/09/2019





PONTIAN, 21 Sept  -- Pengerusi Amanah Johor Aminolhuda Hassan menyifatkan Allahyarham Datuk Dr. Md Farid Md Rafik, yang meninggal, awal pagi ini, sebagai pemimpin yang bukan sahaja bersemangat tinggi untuk membantu rakyat malah komited untuk membawa idea-idea pembaharuan dalam kerajaan.

Ini terbukti apabila pada peringkat awal pilihan raya umum ke-14 (PRU14) yang lepas, Allahyarham telah beberapa kali mengadakan ceramah “bervisi” bersama Aminolhuda sendiri di kawasan Pontian khususnya Tanjung Piai.

“Waktu itu, beliau sentiasa memberi idea-idea dan ucapan-ucapan yang menunjukkan beliau mempunyai idealisme yang baik untuk rakyat dan masa depan negara,” katanya ketika ditemui pemberita di Unit Forensik Hospital Pontian hari ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Perpaduan Negara dan Kesejahteraan Sosial) yang merupakan Ahli Parlimen Tanjung Piai itu dilaporkan meninggal dunia sekitar pukul 6.00 pagi tadi di Hospital Pontian, dipercayai akibat serangan jantung.

Allahyarham Md Farid, 42, anak jati Mukim Serkat itu meninggalkan seorang isteri Datin Farah Syazwani Hanis Ismail dan tiga anak perempuan.

Arwah merupakan Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Tanjung Piai dan memenangi kerusi Parlimen Tanjung Piai pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 tahun lalu, selepas menewaskan penyandangnya Datuk Seri Wee Jeck Seng (MCA) dengan memperolehi 21,255 undi.

Dari segi tanggungjawab sebagai timbalan menteri khusus mengenai pembangunan, Aminolhuda berkata beliau difahamkan arwah juga banyak membantu permohonan untuk pembangunan sesebuah desa dan juga keperluan di peringkat jabatan-jabatan kerajaan yang memerlukan.           

“Jadi, kita kehilangan seorang yang polite (sopan santun) orangnya, menghormati orang tua dan mempunyai jiwa merendah diri. Beliau bukan orang yang meninggi diri walaupun ketika itu, merupakan seorang doktor pakar,” tambahnya.

Aminolhuda yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sumber Manusia, Sains dan Teknologi Johor hadir di situ untuk memberikan sokongan moral kepada ahli keluarga dan saudara terdekat Allahyarham yang menunggu proses bedah siasat jenazah.

Sementara itu, bekas Menteri Besar Johor Datuk Osman Sapian menyifatkan Allahyarham  seorang pemimpin muda yang boleh meneruskan kesinambungan perjuangan parti untuk tempoh yang lama.            

“Dia (Md Farid) adalah pelapis untuk parti di masa akan datang. Semasa saya memangku Pengerusi Bersatu Johor dan Setiausaha Pakatan Harapan, Allahyarham adalah seorang yang berdedikasi tinggi, komited dan kerja kuat,” katanya dan menambah arwah juga sering menjadikan beliau dan ahli-ahli parti yang lebih “senior” sebagai tempat rujukan.

Di KUALA LUMPUR, Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik berkata Dr Md Farid adalah individu yang tidak berlatarbelakangkan politik, tetapi telah menjalankan peranannya sebagai ahli parlimen dan timbalan menteri dengan cemerlang. 

Beliau turut mendedahkan hasrat Allahyarham yang mahu masuk ke semua universiti dan institusi pengajian tinggi bagi memberi penjelasan mengenai perpaduan kaum di negara ini.

"Namun ia tidak kesampaian, saya sebagai teman rapat amat terasa kehilangan beliau," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Pengurniaan Anugerah Sastera Negara ke-14 malam ini.

-- BERNAMA
 

   

 
 
     
   
 

Kastam Kelantan rampas pil kuda bernilai RM2.7 juta

 
     

Penjawat awam Kedah dapat bayaran khas RM750

 
     

Usaha memanjangkan LTSAS akan bermula tahun hadapan

 
     

Raja Permaisuri Agong berkenan rasmi Festival Busana Tradisional Kreatif KL 2019

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel