Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Pemergian Dr Md Farid dirasai semua lapisan masyarakat


Tarikh kemaskini: 21/09/2019





PONTIAN, 21 Sept -- Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Perpaduan Negara dan Kesejahteraan Sosial) Datuk Dr Md Farid Md Rafik menghembuskan nafasnya yang terakhir pada usia 42 tahun, hari ini.

Beliau, yang juga Ahli Parlimen Tanjung Piai, meninggal dunia di Hospital Pontian kira-kira 6.00 pagi ini akibat komplikasi jantung.

Anak jati mukim Serkat itu meninggalkan seorang isteri, Datin Farah Syazwani Hanis Ismail dan tiga anak perempuan.

Pemergian Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Tanjung Piai itu disifatkan rata-rata pemimpin tempatan sebagai satu kehilangan besar kepada parti itu dan Pakatan Harapan.

Turut merasai kehilangan, Pengerusi Bersatu Tun Dr Mahathir Mohamad yang kelihatan sebak selepas menziarahi jenazah Dr Md Farid.

"Masih muda. Takziah kepada semua keluarga, terima kasih," katanya ringkas, ketika ditemui pemberita di Masjid Jamek Datuk Hj Noh Gadut di sini,

Turut mengiringi Dr Mahathir, Menteri Besar Johor Datuk Dr Sahruddin Jamal, Timbalan Presiden Bersatu Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Setiausaha Agung Bersatu Datuk Marzuki Yahya.

Di masjid berkenaan, Dr Mahathir bersama lebih 1,000 ahli masyarakat serta pemimpin tempatan berjemaah solat jenazah.

Terdahulu, ibu Allahyarham Norma Mohamed, 67, menyifatkan pemergian anak sulungnya itu dirasai ahli masyarakat di sini terutama apabila jam-jam terakhir beliau masih memikirkan bagaimana membantu rakyat setempat.

Menurut beliau, Allahyarham masih bertemu masyarakat sehingga kira-kira pukul 4.00 pagi tadi sebelum kemudiannya dilaporkan meninggal dunia dipercayai serangan sakit jantung di hospital, dua jam kemudian.

"Saya redha dengan pemergian Allahyarham dan mengharapkan penduduk mendoakan rohnya dicucuri rahmat," kata beliau, yang juga Ketua Srikandi Bersatu Bahagian Tanjung Piai.

Dr Md Farid, yang juga seorang pakar bius di hospital swasta di Melaka sebelum ini, memenangi kerusi Parlimen Tanjung Piai pada Pilihanraya Umum ke-14 (PRU14) atas tiket PKR-Bersatu.

Beliau memperoleh majoriti undi sebanyak 524 dalam cabaran tiga penjuru sekaligus mengalahkan Datuk Seri Wee Jeck Seng (Barisan Nasional-MCA) dan Nordin Othman (PAS).

Kerusi Parlimen Tanjung Piai yang mempunyai 53,528 pengundi pada PRU14 mempunyai komposisi kaum terdiri daripada 56.8 peratus Melayu, 41.64 (Cina), 1.01 peratus India manakala lain-lain sebanyak 0.55 peratus.

 

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Malaysia perlu rebut peluang bangun pelancongan mesra Muslim

 
     

Air terawat di Pulau Pinang antara paling bersih dan selamat di Malaysia

 
     

Sokongan keluarga, majikan cetus kejayaan penerima Anugerah Canselor

 
     

P. Pinang catat 384 kes rogol dari tahun 2014 hingga 2018

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel