Pasaraya TEKUN Mall untuk bantu usahawan mikro maju ke hadapan
Tarikh kemaskini: 22/09/2019

ALOR GAJAH, 22 Sept – Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN Nasional) sedang berusaha memperkenalkan rangkaian pasaraya TEKUN Mall bagi membantu usahawan mikro di negara ini agar tidak ketinggalan dari arus pembangunan.
Pengerusi TEKUN Nasional, Datuk Sri Muhammad Suparadi Md Noor berkata sudah tiba masanya bagi agensi kerajaan itu melakukan penambah baikan, bukan hanya sekadar memberi pinjaman modal kepada usahawan mikro sebaliknya turut sama terlibat memantau serta membantu mereka (usahawan mikro) maju ke hadapan.
Beliau berkata pasaraya TEKUN Mall akan dibuka di Masjid Tanah Melaka dalam masa terdekat sebelum pembukaan pasaraya yang kedua di Kota Bharu Kelantan pada penghujung tahun ini.
“TEKUN Mall akan menawarkan barangan pada harga yang lebih murah dengan tawaran harga borong dan barang yang dibeli secara terus daripada usahawan TEKUN dan usahawan tempatan dan hanya 30 peratus barangan yang di import.
“Projek perintis TEKUN Mall di Masjid Tanah dijangka mampu memberi manafaat kepada kira-kira 2,800 usahawan dan di Kota Baharu akan melibatkan penyertaan yang lebih besar iaitu kira-kira 3,000 usahawan, ”katanya kepada Bernama di sini.
Beliau berkata sebelum ini usahawan TEKUN hanya menjual sendiri produk mereka di kawasan sekitar seperti di kawasan kampung dan ianya tidak mampu memberi jualan yang lumayan kerana mereka tidak mempunyai jaringan pemasaran yang kukuh untuk bersaing dalam pasaran tempatan mahupun global.
Katanya jesteru itu sebagai usaha memperkasakan jaringan penjualan produk yang dihasilkan oleh usahawan TEKUN, pihaknya telah mewujudkan rangkaian TEKUN Mart dan TEKUN Mart Mobile sebagai projek perintis sebelum membuka jaringan pasaran yang lebih besar menerusi TEKUN Mall.
Muhammad Suparadi berharap usahawan TEKUN dan usahawan Bumiputera mengambil peluang ini dengan berusaha meningkatkan mutu produk mereka untuk dipasarkan ke TEKUN Mall nanti.
Sementara itu salah seorang usahawan TEKUN di Alor Gajah, Siti Nafizah Muslim, 44 yang menghasil produk makanan ringgan berharap dapat mempelbagaikan jenis produk pada masa akan datang apabila wujudnya TEKUN Mall di Masjid Tanah nanti.
“Sekarang ini saya hanya jual sendiri produk untuk pasaran sekitar Melaka, diharap dengan lebih banyak TEKUN Mall dan TEKUN Mart nanti saya dapat memperluaskan lagi pasaran kuih tradisional, “ katanya yang menceburi perniagaan kuih secara kecil-kecilan sejak lapan tahun lalu.
Katanya selain mendapat suntikan modal daripada TEKUN Nasional beliau banyak menerima tunjuk ajar dan nasihat daripada agensi kerajaan sehingga berjaya memasarkan produknya ke beberapa pasaraya sekitar Melaka.
“Saya belajar sedikit demi sedikit untuk memantapkan produk yang dihasilkan agar mampu bersaing dengan produk lain,” katanya yang kini memperolehi jualan melebihi RM20,000 sebulan.
-- BERNAMA
|