Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Jabatan Perhutanan Sabah pantau penyeludupan barangan hutan guna perkhidmatan kurier


Tarikh kemaskini: 23/09/2019





KOTA KINABALU, 23 Sept -- Jabatan Perhutanan Sabah mengingatkan syarikat penghantaran barang secara kurier di negeri ini agar mengambil langkah berjaga-jaga kerana mereka juga boleh dikenakan tindakan jika didapati bersubahat melakukan aktiviti penyeludupan barangan hutan.

Ketua Konservator Hutan Sabah Datuk Mashor Mohd Jaini berkata pihaknya mengesan berlaku penyeludupan barangan hutan menggunakan khidmat syarikat penghantaran barang secara kurier di negeri ini.

Ini adalah taktik yang digunakan oleh penyeludup bagi mengelak kegiatan mereka daripada dikesan pihak berkuasa, katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mashor berkata terbaharu, pasukan khas jabatan itu merampas sejumlah kayu gaharu dianggarkan bernilai RM150,000 yang dihantar menggunakan sebuah syarikat perkhidmatan kurier di Tawau pada 27 Ogos lepas.

Katanya kayu gaharu itu hendak dikirim dari Tawau ke Selangor dan tiada tangkapan dibuat.

Menurutnya, kes ini sedang disiasat di bawah Seksyen 30(1)(g) Enakmen Hutan 1968 dan jika sabit kesalahan, pelaku boleh dikenakan denda tidak lebih daripada RM500,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Mashor berkata pihaknya memandang berat sindiket mencuri dan menyeludup gaharu kerana ia bukan sahaja akan mengakibatkan risiko kepupusan spesies gaharu tetapi juga menyebabkan kerugian jutaan ringgit kepada kerajaan.

Katanya produk daripada spesies Gaharu dilarang untuk dieksport kecuali sumber pengambilan telah disahkan oleh Jabatan Perhutanan Sabah.

Di bawah Konvensyen Perdagangan Antarabangsa Spesies Terancam Flora dan Fauna Liar (CITES), Gaharu hanya boleh diperdagangkan jika permit CITES diperolehi daripada Pihak Berkuasa Pengurusan CITES yang dilantik di bawah Akta CITES (Akta 686), katanya.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Kementerian Pendidikan siap sedia hadapi banjir

 
     

Kos beli vaksin untuk pendatang asing akan diumumkan nanti

 
     

Perpaduan sebenar tidak kenal fahaman politik, amalan kepercayaan - Daud Yusof

 
     

Semakan keputusan kemasukan MRSM tingkatan satu bermula hari ini

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel