Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Matematik, sains dalam bahasa Inggeris, Manyin saran guru 'gasak ajak'


Tarikh kemaskini: 23/09/2019




SIBU, 23 Sept -- Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Sarawak Datuk Seri Michael Manyin Jawong menggesa para guru supaya tidak terlalu risaukan kesalahan apabila bertutur dalam bahasa Inggeris, malah disaran agar mencuba yang terbaik.

“Jangan risaukan tentang tatabahasa, bahasa Inggeris yang sempurna, bertuturlah dalam bahasa Inggeris Sarawak. Dari situlah kita perlu bermula. ‘Gasak ajak’ (buat sahaja). Mulakan sehingga ada yang menegur kesilapan dan dari situ kita akan beransur-ansur bercakap dalam bahasa Inggeris yang betul,” katanya.

Beliau berkata demikian sambil menerima tepukan gemuruh daripada lebih 600 guru yang hadir pada Simposium Pendidikan Bahasa Inggeris Sarawak (SELES) 2019 di sini hari ini.

Sarawak akan menjadi negeri pertama menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar untuk mata pelajaran Matematik dan Sains bermula dengan murid Tahun Satu di 1,265 sekolah rendah di seluruh negeri kecuali Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), tahun hadapan.

Justeru, lebih 2,800 guru akan dilatih untuk tujuan berkenaan memandangkan kebanyakan guru menggunakan bahasa Malaysia sebagai medium pengajaran dan pembelajaran selama ini dan menjadi satu cabaran buat guru berkenaan.

“Sudah pasti kebanyakan daripada mereka (guru) tidak yakin, malu dan takut untuk membuat kesilapan kerana ada pelajar yang mahir bertutur dalam bahasa Inggeris khususnya mereka yang datang daripada keluarga kelas atasan dan pertengahan,” kata Manyin.

Beliau berkata kerajaan akan memberi bantuan dan memantau perkembangan pelaksanaan kaedah itu selama tiga ke enam bulan pertama.

Katanya kaedah pembelajaran juga akan berbeza daripada yang digunakan pada 1960-an ke 1990-an yang mana pada masa ini guru diperlukan untuk membantu proses pembelajaran murid selain guru juga perlu bersedia kerana sifat ingin tahu murid yang tinggi.

Program itu bertujuan merangsang imaginasi murid-murid yang mana dari situ, ia akan berkembang menjadi kreativiti seterusnya inovasi, sebagaimana contoh yang diambil daripada dasar pendidikan Singapura, katanya.

Ia akan membantu anak-anak Sarawak lebih berdaya saing pada masa hadapan yang mana mereka nanti tidak dibayar berdasarkan kelayakan tetapi bagaimana mereka boleh menggunakan pengetahuan mereka untuk menyumbang dalam kerja mereka.

Sementara itu, Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dalam ucapan perasmian simposium itu yang dibacakan timbalannya Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata perkara paling penting dalam pendidikan adalah menanam keperluan untuk belajar dan sentiasa memiliki sifat ingin tahu dan kreatif.

“Menjadi matlamat kami untuk memupuk dan menyebarkan budaya kreatif dan inovatif di Sarawak, khususnya dalam kalangan murid sekolah, sejajar dengan Strategi Pembangunan Bakat dalam Pelan Ekonomi Digital negeri.

“...kita perlu menyediakan anak-anak kita, bakal tenaga kerja masa hadapan dan pemimpin untuk Revolusi Industri 4.0 kerana ia boleh memberi kesan besar kepada pelaburan langsung asing (FDI) ke Sarawak ,” katanya.

Abang Johari turut memuji SELES 2019 sebagai platform yang baik untuk berkongsi dan membincangkan inovasi, trend, kebimbangan dan cabaran terkini yang dihadapi dalam bidang pendidikan bahasa Inggeris yang mana melaluinya, guru akan memperoleh wawasan, amalan dan pengalaman baharu dalam proses pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris.

-- BERNAMA

 


 

   

 
 
     
   
 

Seksyen 5 tol WCE dibuka mulai 10 malam ini

 
     

Banjir: Tiga daerah di Sabah terjejas setakat 12 tengah hari

 
     

17 kampung di Membakut, Beaufort terjejas banjir

 
     

Hutang awam kerajaan negeri Perlis meningkat kepada RM403.32 juta

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel