Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Garis panduan rintis seragamkan pengurusan pasar malam


Tarikh kemaskini: 23/09/2019





KUALA LUMPUR, 23 Sept  -- Projek Rintis Garis Panduan Pasar Malam yang dilaksanakan di Tapak Projek Keramat Permai, Ampang di sini, bakal menjadi modul kepada pengurusan pasar malam di negara ini. 

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin berkata garis panduan itu akan menyeragamkan pengurusan aktiviti pasar malam di seluruh Ampang, malah di lokasi lain di negara ini.

"Sebelum ini, pengurusan pasar malam mengguna pakai Undang-Undang Kecil (UKK) Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) masing-masing seperti UKK Pasar Malam, UKK Penjaja, UKK Tamu di Sabah dan Sarawak. 

"Ketidakseragaman ini menimbulkan pelbagai masalah, termasuk aduan berkaitan sampah, kesesakan lalu lintas dan kacau ganggu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Projek Rintis Garis Panduan Pasar Malam di tapak projek Keramat Permai, Ampang Jaya, di sini hari ini. 

Katanya buat masa ini, garis panduan yang terhasil daripada kajian sejak Mac lalu akan secara perlahan-lahan diperluaskan ke 31 tapak pasar malam yang terdapat di seluruh Ampang.

"Penguatkuasaan sepenuhnya bagi garis panduan ini di seluruh negara pula dijangka dilaksanakan pada 2021. Jadi, sebelum tarikh itu PBT boleh mengaplikasikan garis panduan tersebut mengikut kemampuan masing-masing," katanya. 

Zuraida berkata antara perkara yang diberi penekanan dalam garis panduan itu ialah pemilihan lokasi tapak pasar malam, bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas, pengezonan jualan mengikut kategori barang jualan, bekalan elektrik dan air serta pengurusan sampah. 

"Selepas ini, tiada lagi penggunaan generator memandangkan semua tapak akan menggunakan lampu LED. Bagi tapak pasar malam Keramat Permai ini, kementerian telah memperuntukkan lebih RM100,000 untuk melakukan kerja-kerja pemasangan kabel elektrik dan pili air bagi 250 tapak dan 131 penjaja," katanya. 

Zuraida berkata denda baharu juga diperkenalkan terutama melibatkan kebersihan. 

"Ada denda baharu seperti contoh peniaga yang meninggalkan tapak niaga tanpa membersihkan sampah, akan digantung lesen mereka selama sebulan," katanya. 

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Kastam Kelantan rampas pil kuda bernilai RM2.7 juta

 
     

Penjawat awam Kedah dapat bayaran khas RM750

 
     

Usaha memanjangkan LTSAS akan bermula tahun hadapan

 
     

Raja Permaisuri Agong berkenan rasmi Festival Busana Tradisional Kreatif KL 2019

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel