Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Dua lelaki memandu secara melulu ditahan, 17 kenderaan disita di Penampang


Tarikh kemaskini: 23/09/2019





PENAMPANG, 23 Sept  -- Dua lelaki ditahan kerana memandu secara melulu dan merbahaya serta menyita 17 kenderaan atas pelbagai kesalahan dalam operasi bersepadu dijalankan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sabah di Jalan Pintas, dekat sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Penampang DSP Mohd Haris Ibrahim berkata dalam operasi bermula 12 tengah malam hingga 6 pagi Ahad, kedua-dua individu berumur dalam lingkungan 20-an itu ditahan selepas didapati menjadikan jalan tersebut sebagai lokasi untuk menguji keupayaan enjin kenderaan yang diubah suai, sehingga menyebabkan bunyi bising serta mengganggu ketenteraman penduduk.

Bagaimanapun beliau berkata pemandu terbabit dibebaskan dengan jaminan selepas keterangan diambil.

"Kedua-dua lelaki itu didapati negatif dadah hasil ujian air kencing dijalankan dan berdasarkan siasatan individu terbabit menggunakan jalan raya tersebut untuk menguji kelajuan dan keupayaan kuasa enjin kenderaan yang telah diubah suai, " katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Mohd Haris turut memberi amaran kepada pemandu di daerah itu supaya tidak memandu secara melulu dan menjadikan jalan raya sebagai litar perlumbaan kerana ia bukan sahaja membahayakan diri mereka sendiri tetapi juga pengguna jalan raya lain.

Katanya, dalam operasi itu polis turut mengeluarkan sebanyak 19 saman, manakala JPJ mengeluarkan 30 saman atas pelbagai kesalahan kepada pengguna jalan raya lain.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Buruh didakwa rogol anak kandung, setiap hari selama empat bulan

 
     

Bayi berusia tiga bulan di Sabah dijangkiti virus polio

 
     

Tunai mandat diberi dengan hadir ke mesyuarat - Setiausaha Agung PKR

 
     

Harga barangan basah dan sayuran di Terengganu lepas banjir masih terkawal

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel