Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Perlu ada ukuran pendapatan yang lebih terperinci untuk bantuan kebajikan - KRI


Tarikh kemaskini: 23/09/2019





KUALA LUMPUR, 23 Sept  -- Insititut Penyelidikan Khazanah (KRI) mencadangkan satu kaedah alternatif bagi mengukur ekonomi isi rumah dengan lebih baik melalui penggunaan pendapatan boleh lupus atau bersih termasuk mengambil kira jurang pendapatan di pelbagai lokasi dan saiz isi rumah untuk menentukan standard kehidupan mereka..

  Penyelidik Bersekutu Kanan KRI, Hawati Abdul Hamid berkata amalan semasa menggunakan isi rumah 40 (B40) untuk menggambarkan golongan miskin masih tidak diselaraskan bagi merangkumi saiz isi rumah yang berbeza khususnya, dalam menentukan sesuatu standard.

"Hanya dengan mensasarkan isi rumah B40 untuk penyediaan bantuan sosial boleh menjadi 'terlalu sempit dan terlalu luas ' pada masa yang sama. 

"Dalam konteks kemiskinan dan memastikan standard hidup minimum, sempadan B40 memberi rangkuman yang terlalu jauh kerana bukan semua B40 memerlukan bantuan sosial yang sama seperti mereka yang duduk dalam kemiskinan mutlak," katanya kepada pemberita semasa pembentangan kertas perbincangan KRI yang terkini, 'Penentuan Isi Rumah : Analisis Pendapatan dan Perbelanjaan Bersepadu' di sini hari ini.

Sempadan B40 merujuk kepada kumpulan isi rumah dengan kadar 40 peratus daripada pengagihan pendapatan yang terendah.

Ia telah diterima pakai oleh kerajaan sejak daripada Rancangan Malaysia ke-9 (RMK) untuk menangani ketidaksamaan dan digunakan secara meluas sebagai mekanisme penyasaran dasar dalam RMK-11. 

Kertas perbincangan itu ditulis secara bersama oleh Hawati, Pengarah Penyelidikan KRI Dr Suraya Ismail dan Penyelidik Bersekutu KRI Gregory Ho Wai Son. 

Sementara itu, menurut Suraya di antara matlamat utama kertas perbincangan itu adalah keperluan untuk mengukur pendapatan dengan lebih terperinci disebabkan penentuan  B40 merupakan satu langkah relatif yang direka bagi memantau kemajuan dalam menangani masalah ketidaksamaan serta pengagihan.

"Isi rumah yang hanya mampu memenuhi keperluan asas mereka (makanan, perumahan dan pakaian) cenderung kepada sekitar bawah 20 (B20) dengan pendapatan yang lebih rendah daripada RM1,196. 

"Memandangkan isi rumah akan menjadi semakin senang, mereka mampu berbelanja untuk pelbagai jenis barangan dan perkhidmatan daripada mereka di dalam B20," katanya lagi.

Bagaimanapun, mereka yang duduk di tengah-tengah 50 peratus (M50) masih kerap membuat pertimbangan membabitkan keputusan penggunaan antara barangan kehendak atau keperluan asas.

"Sebagai contoh, jika mereka perlu memilih untuk menukar tayar pancit, maka mereka terpaksa 'mengorbankan' keperluan lain seperti rancangan untuk berjalan atau makan di luar," tambahnya. 

Perbelanjaan kehendak atau "kelas berpendapatan sederhana" tertumpu kepada 30 peratus isi rumah yang paling utama, dengan pendapatan yang lebih tinggi daripada RM3,015. 

Sebahagian besar analisis kuantitatif dalam kertas perbincangan berkenaan adalah berdasarkan kepada Kajian Perbelanjaan Pendapatan Isi Rumah 2014, yang dikumpulkan oleh Jabatan Perangkaan. 

Untuk maklumat lanjut, layari laman web KRI pada www.krinstitute.org.

-- BERNAMA  


 

   

 
 
     
   
 

Kastam Kelantan rampas pil kuda bernilai RM2.7 juta

 
     

Penjawat awam Kedah dapat bayaran khas RM750

 
     

Usaha memanjangkan LTSAS akan bermula tahun hadapan

 
     

Raja Permaisuri Agong berkenan rasmi Festival Busana Tradisional Kreatif KL 2019

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel