Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

CPCG dari China ketuai konsortium labur RM3 bilion di Terengganu


Tarikh kemaskini: 23/09/2019




KUALA LUMPUR, 23 Sept  -- Pacific Construction Group Ltd (CPCG) akan mengetuai satu konsortium pelabur untuk melabur kira-kira RM3 bilion bagi tempoh lima tahun akan datang dalam pembangunan infrastruktur, termasuk taman perindustrian, zon perdagangan bebas dan perumahan mampu milik di Terengganu.

Inisiatif itu akan diketuai oleh anak syarikatnya di Malaysia, CPCG Holdings Sdn Bhd, yang memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Terengganu Jiangsu Trade Organisation (TJTO) semasa Expo China-ASEAN ke-16, di Nanning, China. 

Pengarah CPCG Holdings, Zhou Ya Dong berkata pelaburan strategik itu sejajar dengan usaha kerajaan China untuk memenuhi Inisiatif ‘Jalur dan Laluan’ serta Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

"Kami berhasrat untuk melengkapkan inisiatif ini bagi membolehkan Terengganu membangunkan ekonomi yang rancak dan dinamik, serta memupuk kemakmuran bersama bagi mereka yang menetap di negeri itu," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, di sini, hari ini.

MoU itu ditandatangani oleh Zhou dan Presiden TJTO, Tengku Iskandar Tengku Hashim.

Tahun lepas, pengasas CPCG, Yan Jiehe mengumumkan rancangan untuk melabur sehingga RM10 bilion bagi tempoh lebih 10 tahun di Malaysia selaras dengan bidang perniagaan teras syarikat iaitu pembangunan infrastruktur, jentera teknologi tinggi dan pendidikan.

Sebanyak 65 peratus daripada RM10 bilion itu akan dilaburkan dalam sektor pembinaan dan infrastruktur.

CPCG Holdings,yang  beribu pejabat di sini, adalah Pusat Kompetensi Teknikal Serantau CPCG.

Menurut kenyataan tersebut, anak syarikat itu akan terus memudahkan pelaburan CPCG di Malaysia dan di seluruh Asia Pasifik.

Ia telah berjaya menyiapkan projek pembinaan bernilai RM200 juta di Sabah.

CPCG yang berada di kedudukan ke-97 dalam Fortune Global 500 2019 dengan jumlah hasil sebanyak RM319 bilion, merupakan syarikat pembinaan milik swasta terbesar di dunia.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Kastam Kelantan rampas pil kuda bernilai RM2.7 juta

 
     

Penjawat awam Kedah dapat bayaran khas RM750

 
     

Usaha memanjangkan LTSAS akan bermula tahun hadapan

 
     

Raja Permaisuri Agong berkenan rasmi Festival Busana Tradisional Kreatif KL 2019

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel