Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

CEO baharu Perbadanan Labuan sedia pikul cabaran


Tarikh kemaskini: 24/09/2019





Oleh Jailani Hasan

LABUAN, 24 Sept  -- Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Dr Fary Akmal Osman tidak merasa terancam dengan cabaran dalam menerajui  pihak berkuasa tempatan  bagi  pusat perniagaan dan kewangan antarabangsa ini.

"Saya bersedia menghadapi cabaran ini dan saya akan melaksanakan tugas saya dengan sebaik mungkin," kata wanita yang berusia 43 tahun itu.

Beliau dilantik ke jawatan itu pada 10 Julai, dan  merupakan wanita pertama yang mengetuai pihak berkuasa tempatan di Wilayah Persekutuan. Beliau berkata "ini merupakan satu penghormatan bagi saya  menjalankan  peranan yang baharu". Beliau menggantikan Datuk Azhar Ahmad yang berpindah  ke Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Fary memperoleh ijazah sarjana muda dari De Montfort University di United Kingdom sebelum melanjutkan melanjutkan pelajaran di peringkat Sarjana di Universiti Waseda, Tokyo, dan memperolehi Ijazah Doktor Falsafah (PhD) di Universiti Kyoto, juga di Jepun.

Bekas penasihat ekonomi di pejabat Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) di Bangkok dan bekas ketua perkhidmatan fiskal dan ekonomi Kementerian Kewangan (MOF) berkata beliau berharap untuk membuat perbezaan besar dalam kedudukan baharunya itu.

"Saya amat berbesar hati diberi pengiktirafan bagi perkhidmatan yang saya sumbangkan untuk kerajaan dan juga rakyat. Ia mendebarkan tetapi saya teruja kerana saya suka pada cabaran. Bagi saya, itu semua tentang berkhidmat dan cuba membuat perbezaan, "katanya.

Fary berkata keutamaannya adalah untuk memastikan pengurusan dan perancangan pihak berkuasa tempatan yang ekonomik berkesan dan  cekap serta mengekalkan standard integriti dan perlakuan yang sesuai di kalangan pekerja.

"Anda tidak boleh berfungsi jika secara dalaman anda tidak saling berkhidmat, jika anda tidak dapat melakukannya dengan betul, anda tidak boleh memulakan perkhidmatan," tegas beliau.

Fary berkata beliau sedar bahawa Labuan juga menghadapi cabaran besar dalam ekonomi dan berharap dapat menanganinya demi kepentingan rakyat.

"Sebagai pihak berkuasa tempatan, Perbadanan Labuan, selain menjadi penguatkuasa undang-undang, mesti berfungsi sebagai pemudah cara yang berkesan dan telus bagi urusan perniagaan dan tawaran pelaburan. Kita mesti menggalas tanggungjawab lebih besar dengan terlibat dalam perancangan dan pembangunan destinasi pelancongan, "katanya.

Sesetengah bidang yang diharapkan dapat diperbaiki di dalam Perbadanan Labuan adalah sistem, proses, struktur dan fungsi "untuk memastikan ia diselaraskan dan sejajar dengan visi dan matlamat jangka panjang kita untuk memastikan perkhidmatan yang diberikan adalah kualiti yang diharapkan daripada kita".

Fary mahu Perbadanan Labuan proaktif dalam menyediakan infrastruktur untuk menarik pelabur ke pulau itu.

Antara bidang lain yang akan difokuskan ialah mempromosikan Labuan di peringkat antarabangsa dan kepada pelabur asing yang mempunyai perniagaan di Kuala Lumpur, seperti dewan  perniagaan antarabangsa Jepun dan Kesatuan Eropah, Dewan Perniagaan Malaysia British dan Dewan Perniagaan Amerika Syarikat.

"Saya akan memulakan pertemuan dengan pemimpin-pemimpin dewan antarabangsa mengenai potensi perniagaan di Labuan. Saya juga akan menjemput duta asing yang berpangkalan di Malaysia untuk melawat Labuan mengenai potensi perniagaan dan perkongsian strategik, "katanya.

Beliau berkata prosedur operasi standard (SOP) akan terus diperkuat untuk memastikan Perbadanan Labuan berada dalam landasan dan bebas daripada campur tangan politik dan birokrasi, dan dengan itu meningkatkan integritinya.

"Sebagai contoh, pengagihan  projek pembangunan  mestilah menerusi  proses yang telus. Kita mahu mereka yang berpolitik menghormati prinsip-prinsip pihak berkuasa tempatan untuk membebaskan diri daripada unsur rasuah, "katanya.

Beliau berkata pendidikan adalah satu lagi sektor yang boleh dimajukan dengan penubuhan cawangan institusi pengajian tinggi swasta.

Fary yang telah dua bulan berada di sini berkata sektor pelancongan Labuan masih belum diterokai sepenuhnya dan terdapat banyak kawasan yang masih boleh dibangunkan. Beliau berkata kekurangan hotel dan resort bertaraf bintang  boleh dibangunkan oleh pengendali pelancongan.

"Jika kita bercakap tentang pelancongan, kita mesti mempunyai produk pelancongan yang mencukupi dan menarik dengan kemudahan yang lebih baik ... ini juga termasuk bidang logistik yang boleh dipertingkatkan, sama ada laut atau udara," katanya.

Beliau juga berharap untuk membawa Labuan ke tahap yang lebih tinggi, pulau ini memerlukan pembiayaan yang besar kerana infrastruktur memerlukan penggantian dan peningkatan.

"Kita memerlukan dana dalam bajet 2020 untuk menaik taraf kemudahan pelancongan kita, terminal feri dan pelabuhan kontena Labuan untuk menarik pelabur, tidak lupa empat kampung air kita di mana jambatan yang ada perlu dibaiki  untuk faedah penduduk kampung," kata Fary.

-- BERNAMA

 

 

 


 

   

 
 
     
   
 

Seksyen 5 tol WCE dibuka mulai 10 malam ini

 
     

Banjir: Tiga daerah di Sabah terjejas setakat 12 tengah hari

 
     

17 kampung di Membakut, Beaufort terjejas banjir

 
     

Hutang awam kerajaan negeri Perlis meningkat kepada RM403.32 juta

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel