Kedai perabot musnah akibat kebakaran
Tarikh kemaskini: 24/09/2019

KUANTAN, 24 Sept — Pemilik sebuah kedai perabot tinggal sehelai sepinggang apabila kedainya di Taman Desa Semantan, Temerloh dekat sini musnah sepenuhnya akibat kebakaran hari ini.
Eng Kok Keong, 51, berkata kebakaran itu berlaku sekitar 1 tengah hari dan api merebak begitu pantas menyebabkan beliau dah isteri hanya terfikir untuk keluar menyelamatkan diri.
"Saya tidak sempat mengambil wang tunai dan dokumen.. tak tahu dari mana berlaku tetapi tiba-tiba sahaja saya ternampak api di bahagian dalam kedai.
“Walaupun kedai hangus, tapi saya berterima kasih kerana tiada yang cedera memandangkan semasa itu, tiada pelanggan di kedai,” katanya semasa dihubungi Bernama di sini, hari ini.
Eng yang sudah 25 tahun mengusahakan perniagaan itu berkata setakat ini, beliau masih tidak dapat menganggarkan nilai kerugian yang dialaminya.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Nor Hisham Mohammad berkata selain kedai perabot, kebakaran turut menyebabkan sebuah kedai perkakasan terletak bersebelahan musnah 30 peratus.
"Pihak bomba menerima panggilan pada 1.08 tengah hari dan menggerakkan 36 anggota dan pegawai dari Balai Temerloh, Bukit Angin, Mentakab dan Maran dengan keseluruhan tujuh jentera.
"Kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada 2.25 petang dan buat masa ini, punca kebakaran serta kerugian masih dalam siasatan" katanya.
-- BERNAMA
|