Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Jerebu: Nelayan Kelantan diminta berwaspada ketika di laut


Tarikh kemaskini: 24/09/2019




KOTA BHARU, 24 Sept (Bernama) -- Nelayan di Kelantan diminta berwaspada ketika menangkap ikan di laut berikutan situasi jerebu yang mengurangkan jarak penglihatan.

Pengarah Jabatan Perikanan Kelantan, Nazri Ishak berkata ia penting bagi memastikan keselamatan golongan nelayan dari terlibat dalam sebarang perlanggaran bot ketika turun mencari rezeki ekoran penglihatan yang kurang jelas.

“Jika tidak berhati-hati, kemalangan boleh berlaku kerana kemungkinan akan menyebabkan penglihatan terbatas jika jerebu berterusan dan nelayan dinasihatkan sentiasa berwaspada,” katanya ketika dihubungi Bernama, di sini hari ini. 

Semalam, Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Kota Bharu dan Tanah Merah berada pada paras tidak sihat dengan bacaan masing-masing adalah 115 dan 116.

Bagaimanapun Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kelantan Hamzah Mohamad hari ini dilaporkan berkata IPU bagi Kelantan telah menurun kepada paras sederhana dengan Kota Bharu mencatatkan bacaan 88 manakala Tanah Merah 98 sehingga pukul 2.00 petang hari ini.

Dalam perkembangan sama, Nazri turut menasihatkan penternak ikan air tawar dan air payau di negeri ini untuk mengambil langkah berjaga-jaga dengan mengurangkan kadar tebaran benih ikan dalam kolam ternakan bagi mengurangkan kepadatan bilangan ikan.

“Langkah ini sebagai persediaan untuk mengelakkan tekanan kepada ternakan supaya kadar oksigen yang terlarut untuk ternakan mencukupi. 

“Penggunaan peralatan seperti peniup, roda pendayung atau teknologi terkini untuk meningkatkan kadar oksigen terlarut dalam air juga penting ketika jerebu bagi mengelakkan kerugian akibat kematian ikan,” katanya. 

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Buruh didakwa rogol anak kandung, setiap hari selama empat bulan

 
     

Bayi berusia tiga bulan di Sabah dijangkiti virus polio

 
     

Tunai mandat diberi dengan hadir ke mesyuarat - Setiausaha Agung PKR

 
     

Harga barangan basah dan sayuran di Terengganu lepas banjir masih terkawal

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel