Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Larian Menjunjung Kasih 2019 buka kategori 21 km buat julung kalinya


Tarikh kemaskini: 24/09/2019





SHAH ALAM, 24 Sept  -- Larian Menjunjung Kasih 2019 yang dianjurkan sempena Hari Keputeraan ke-74 Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah membawa kelainan tahun ini apabila buat julung kalinya mempertandingkan kategori larian 21km.

Pengarah Eksekutif Majlis Sukan Negeri Selangor (MSNS) Adi Faizal Ahmad Tarmizi berkata jarak baharu itu ditambah dalam senarai kategori larian berkenaan bagi mempelbagaikan acara selain menarik lebih banyak penyertaan dalam kalangan rakyat.

Beliau berkata acara larian yang masuk edisi kelima itu akan diadakan di Padang Timur, Petaling Jaya pada 8 Dis depan bermula seawal 5 pagi dan disasarkan kira-kira 10,000 pelari menyertainya.

“Walaupun diperkenalkan jarak 21 km, namun acara larian ini masih mempertandingkan jarak larian 10 km dan 5 km seperti edisi sebelumnya. Kita mahu memupuk masyarakat supaya mengamalkan cara hidup sihat serta menanam semangat perpaduan dalam kalangan rakyat.

“Selain itu, acara ini juga memberi peluang kepada penduduk tempatan terutamanya remaja dan belia di Selangor untuk menceburi sukan ini yang secara tidak langsung menghidupkan rasa kasih dan peduli kepada institusi kesultanan negeri Selangor,” katanya dalam satu sidang media di sini hari ini.

Kata Adi Faizal, setakat ini, kira-kira 5,000 peserta telah mengesahkan penyertaan mereka sejak acara itu dibuka pendaftarannya pada 1 Julai lepas.

Beliau berkata selain acara larian, peserta juga pasti menantikan acara cabutan bertuah dan pihaknya menyediakan pelbagai hadiah lumayan kepada mereka yang berdaftar. 

Kategori yang dipertandingkan pada edisi kali ini adalah 21 km Lelaki / Wanita Terbuka Malaysia dan 21 km antarabangsa, 10 km Lelaki/Wanita (18 tahun ke atas), 10 km Pelajar Terbuka Lelaki/Wanita (13-27 tahun), 5 km Pelajar Terbuka Lelaki/Wanita (13-27 tahun), 5 km Keluarga Fun Run dan 5 km Orang Kelainan Upaya (OKU).

Pendaftaran acara larian itu boleh dilakukan menerusi laman sesawang www.jomrun.com dan www.racexasia.com sebelum 1 Nov ini.

-- BERNAMA

 


 

   

 
 
     
   
 

Empat ADUN pembangkang gesa Perlis terima pegawai SPRM

 
     

Sultan Selangor berkenan hadir ke Jamuan Teh Diraja

 
     

LTTE: Permohonan ikat jamin dua ADUN, ketua pegawai perbadanan didengar Isnin

 
     

Dewan Negara: LPT2 catat 246 kes kemalangan maut dari Januari 2016-Oktober 2019

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel