Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Najib ada kuasa mutlak dalam hal ehwal kewangan 1MDB dan TIA - saksi


Tarikh kemaskini: 24/09/2019





KUALA LUMPUR, 24 Sept  -- Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1Malaysia Development Berhad (1MDB) memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Perdana Menteri mempunyai kuasa mutlak dalam membuat keputusan melibatkan hal ehwal kewangan 1MDB dan Terengganu Investment Authority Berhad (TIA).

Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, 49, yang juga bekas CEO TIA, berkata Najib selaku orang nombor satu di Malaysia ketika itu merupakan pembuat keputusan tertinggi terutamanya melibatkan pelaburan besar, kewangan (dana) dan juga dasar negara bertepatan dengan kehendak Artikel 117 dalam dokumen memorandum dan artikel TIA yang menyatakan bahawa sebarang tindakan tersebut perlu mendapatkan kebenaran bertulis daripada Perdana Menteri.

Saksi kesembilan yang juga saksi penting  pendakwaan itu berkata demikian semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Kanan Datuk Seri Gopal Sri Ram dan ketika merujuk dokumen Memorandum and Articles of Association of 1Malaysia Development Berhad (M&A) yang telah dipinda dan diterima dalam satu Mesyuarat Agung Luar Biasa 1MDB  pada 11 Ogos 2009.

Perbicaraan kes Najib yang didakwa atas empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang sama, masuk hari ke-12 hari ini. 

Saksi itu berkata M&A 1MDB tersebut telah disediakan berdasarkan perbincangan antara beberapa individu termasuk beliau sendiri dan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low pada peringkat awal penubuhan TIA.

"Bagaimanapun, perubahan pada M&A 1MDB pada 11 Ogos 2009 itu dikendalikan pegawai saya bernama Zahid Taib bersama seorang peguam berdasarkan input daripada salah seorang Pengarah Eksekutif 1MDB, Casey Tang dan Jho Low.

Terdahulu, Shahrol Azral berkata pindaan dalam M&A tersebut mengesahkan bahawa kuasa tertinggi dalam 1MDB adalah Perdana Menteri iaitu Najib selain mengikut keperluan syarikat sebagai sebahagian daripada proses pengambilalihan TIA oleh Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Kewangan Diperbadankan (MOF Inc).

"Saya juga ingat Jho Low ada mengarahkan penukaran perkataan ‘Federal Government of Malaysia’ (Kerajaan Persekutuan Malaysia) kepada ‘Prime Minister’ (Perdana Menteri) dalam M&A pindaan tersebut kerana Jho Low berkata Datuk Seri Najib mahu memastikan tidak ada perkara yang tidak jelas bahawa punca kuasa 1MDB adalah Perdana Menteri Malaysia sahaja.

Peranan Datuk Seri Najib juga selaku Perdana Menteri, Menteri Kewangan dan Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB juga meliputi kuasa melantik dan menggugurkan Lembaga Pengarah (BOD) serta Pengurusan Kanan contohnya Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Ketua Pegawai Kewangan (CFO) dan Ketua Pegawai Informasi (CIO)  mengikut kehendak Artikel 117 M&A tersebut," katanya.

Ketika ditanya Sri Ram sekiranya tertuduh pernah membangkitkan sebarang isu mengenai artikel 117 itu, saksi menjawab tiada dan berkata Najib turut terlibat dengan hal ehwal 1MDB kerana telah menurunkan tandatangannya dalam dokumen-dokumen melibatkan 1MDB.

Shahrol Azral menambah, pindaan artikel itu juga bermaksud setiap Ahli Lembaga Penasihat 1MDB dilantik oleh Pengerusi Lembaga Penasihat yang juga Perdana Menteri. 

"Lembaga Penasihat bertanggungjawab untuk memberi nasihat mengenai urusan pelaburan dan perniagaan 1MDB. Pengguguran dan pelantikan jawatan Pengarah  dan Pengurusan Kanan 1MDB mestilah mendapatkan kelulusan bertulis terlebih dahulu daripada Perdana Menteri. 

"Oleh sebab itu, sepanjang saya bertugas sebagai CEO dan Pengarah di TIA dan 1MDB, saya sentiasa mendapatkan mandat dan maklum balas daripada Datuk Seri Najib sendiri selaku Pengerusi Lembaga Penasihat, Perdana Menteri dan Menteri Kewangan," katanya.

Sementara itu, Sri Ram dalam soalan tambahannya bertanya sama ada tertuduh akan menyalahkan lembaga pengarah jika berlaku sesuatu kesilapan pada pelaburan 1MDB, Shahrol Azral menidakkannya.

Shahrol Azral: Menurut memorandum and articles of association, lembaga pengarah memerlukan kebenaran daripada Perdana Menteri untuk sebarang keputusan pelaburan.  Justeru setiap apa yang beliau lakukan adalah sejajar dengan kehendak Perdana Menteri, Menteri Kewangan dan lembaga pengarah 1MDB.

Najib, 66, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.

Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan empat kesalahan rasuah di Cawangan AmIslamic Bank Berhad, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di sini antara 24 Feb 2011 dan 19 Dis 2014 manakala bagi semua pertuduhan pengubahan haram antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013, di tempat sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.

-- BERNAMA

 

 


 

   

 
 
     
   
 

Malaysia perlu rebut peluang bangun pelancongan mesra Muslim

 
     

Air terawat di Pulau Pinang antara paling bersih dan selamat di Malaysia

 
     

Sokongan keluarga, majikan cetus kejayaan penerima Anugerah Canselor

 
     

P. Pinang catat 384 kes rogol dari tahun 2014 hingga 2018

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel