Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Beruang matahari dipelihara dalam kurungan undang pelbagai reaksi


Tarikh kemaskini: 24/09/2019





KUCHING, 24 Sept (Bernama) -- Susulan kes penemuan seekor beruang matahari, dalam sebuah kondominium di Kuala Lumpur Jun lepas, kini muncul satu lagi kes melibatkan seekor haiwan yang sama dikurung di sebuah rumah kediaman di kawasan perumahan Demak Laut dekat sini.

Kelibat spesis haiwan dilindungi yang dikurung dalam sangkar besi di rumah berkenaan dirakam oleh seorang individu yang kemudiannya memuatkan video berkenaan di Facebook, yang dikongsi dengan lebih 665 netizen.

Difahamkan satu laporan dibuat kepada Sarawak Forestry Corporation (SFC) minggu lepas, yang kemudiannya memberitahu bahawa mereka sedia maklum mengenai perkara itu dan penjaga haiwan berkenaan memiliki permit untuk memeliharanya.

Anggota Majlis Pencinta Alam Malaysia (MNS), Musa Musbah, yang mengambil inisiatif melawat haiwan itu mengesahkan kes berkenaan kepada Bernama di samping memaklumkan bahawa penjaga beruang itu memang memiliki permit untuk memeliharanya.

“Berdasarkan maklumat yang kita perolehi memang beruang berkenaan disimpan lebih dari tujuh tahun. Memang permit ini diperbaharui oleh pemiliknya, cuma kita sebagai badan bukan kerajaan yang ambil berat soal haiwan rasa tidak patut haiwan terlindung ini dikurung sedemikian," katanya.

Menurutnya beruang matahari itu dilihat sering menggigit sangkar besi yang agak kecil itu seolah-olah ingin melepaskan diri, dan beliau harap pihak berkuasa akan menyelamatkan haiwan yang malang itu.

Sementara itu Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Datuk Abdul Kadir Abu Hashim ketika dihubungi Bernama berkata beruang matahari disenaraikan sebagai haiwan yang dilindungi sama ada di Semenanjung dan Labuan yang berada di bawah bidang kuasa jabatan itu, mahupun di Sarawak dan Sabah di bawah kerajaan negeri.

“Kalau di Semenanjung and Labuan, perlu ada permit khas dari menteri, selalunya permit hanya akan diberi sekiranya pemohon boleh mengemukakan alasan-alasan kukuh.

“Tetapi mengikut dasar hidupan liar, kita tak benarkan orang awam bela beruang, sebab dia hidupan liar dikategorikan ganas dan binatang ini tak banyak di hutan kita,” katanya dan menambah beruang itu boleh membesar sehingga seberat 100 kilogram.

Sementara itu World Wide Fund for Nature Malaysia dalam satu kenyataan menggesa supaya beruang itu diserahkan kepada pihak berkuasa untuk rehabilitasi, dan menegaskan bahawa haiwan liar bukan untuk dibela dan seharusnya dibiarkan bebas di habitat asalnya.

“Beruang matahari tidak seharusnya disimpin sebagai haiwan peliharaan. Ia memerlukan ruang yang luas untuk aktiviti hariannya, dan ia aktif pada hari siang, mahupun malam. Ruang yang terhad boleh memberi tekanan kepadanya,” katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Bayi berusia tiga bulan di Sabah dijangkiti virus polio

 
     

Tunai mandat diberi dengan hadir ke mesyuarat - Setiausaha Agung PKR

 
     

Harga barangan basah dan sayuran di Terengganu lepas banjir masih terkawal

 
     

Nelayan hilang ditemui lemas di Kuala Dungun pagi ini - bomba

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel