Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Belian minyak masak terpakai meningkat - Alam Flora


Tarikh kemaskini: 24/09/2019





PUTRAJAYA, 24 Sept  -- Usaha  mempromosikan kelestarian alam sekitar semakin diterima apabila Alam Flora Sdn Bhd (Alam Flora) melalui anak syarikatnya DRB-Hicom Environment Services (DHES) dapat mengumpulkan 100 tan minyak masak terpakai dalam tempoh tidak sampai setahun.

Ketua Pegawai Eksekutif Alam Flora Datuk Mohd Zain Hassan berkata DHES membeli 100 tan minyak masak terpakai itu dalam tempoh Januari hingga Ogos lepas, yang memberi petanda positif terhadap usaha melestarikan alam sekitar manakala 400 tan dikutip sejak 2014 hingga tahun lepas.

"Ini satu isyarat positif bahawa objektif program belian semula minyak masak terpakai yang diperkenal sejak 2014 itu semakin diterima dan masyarakat memahami kepentingan menguruskan bahan itu selepas digunakan,” katanya yang ditemui pada program Cyber Eco Hunt 2019 di sini hari ini.

Cyber Eco Hunt merupakan inisiatif yang melibatkan 30 individu berpengaruh termasuk selebriti Sufian Suhaimi yang akan mengunjungi kediaman terpilih bagi mempromosikan penjagaan alam sekitar termasuk pengasingan minyak masak terpakai. 

Mohd Zain berkata minyak masak terpakai itu dibeli semula pada harga RM1.10 sekilogram dan diproses menjadi produk biodesel yang dijual semula untuk kegunaan industri.

Seorang suri rumah Azizah Abdullah, 53, yang telah menjual lebih 15 kilogram minyak masak terpakai kepada DHES berkata beliau mula mengumpulkan minyak masak terpakai sejak setahun lalu selepas mengetahui ia boleh dijual kepada pihak yang prihatin dalam mengekalkan persekitaran bersih dan sihat.

"Dulu tuang sahaja (minyak masak terpakai) dalam sinki tapi bila dapat tahu ada program (DHES) ini, saya mula menyimpannya, apatah lagi mereka datang sendiri ke kediaman penduduk untuk membelinya," katanya yang menggunakan purata lima kilogram minyak masak dalam sebulan.

-- BERNAMA 


 

   

 
 
     
   
 

Pekan Rantau Panjang kembali pulih

 
     

Pesta Pulau Pinang sasar 500,000 pengunjung

 
     

Malaysia perlu rebut peluang bangun pelancongan mesra Muslim

 
     

Air terawat di Pulau Pinang antara paling bersih dan selamat di Malaysia

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel